Saturday, June 14, 2008

Peraduan Wau Peringkat Nasional di Catholic JC 31 Mei 2008



Sungguh “WAU”!!! Kami Juara...

Sememangnya para remaja kini hidup dalam zaman yang canggih di mana terdapatnya komputer yang berjaya memudahkan perkerjaan seharian kita. Namun dengan adanya teknologi sebegini, para remaja lebih malas untuk bermain di luar dan lebih suka menghadap skrin komputer . Lebih teruk lagi, dengan pengaruh barat yang kini semakin kuat , para remaja tidak begitu peka akan budaya mereka yang sebenarnya lebih kaya.

Pada 31 May lalu, Maktab Rendah Katolik (Catholic JC) telah mengadakan sebuah pertandingan mereka wau diantara sekolah-sekolah di peringkat menengah dan juga pra-U. Terdapat banyak 15 buah sekolah yang menyahut cabaran menyiapkan wau berdasarkan tema ‘perasaan cinta, kesukaan, kegemaran’ ataupun “passion” . Saat gong dipalu, setiap kumpulan yang harus mempunyai paling ramai empat anggota yang tidak terhad pada pelajar Melayu sahaja, bergegas ke meja untuk menyiapkan wau mereka itu.

Sebagai peserta, kami dapat merasa darah gemuruh yang menyelubungi kami sehinggakan tangan seakan tergetar-getar sewaktu ingin mula melukis. Namun, lagu-lagu Melayu yang telah dimainkan di alat pembesar suara berjaya menenangkan jiwa para peserta. Malah ada yang sempat bernyanyi-nyanyi sambil menyiapkan wau tersebut.

Hanya kertas mahjong, pelekat dan rotan yang telah disiapkan oleh pihak pengajur untuk pertandingan ini. Ada sekolah yang bermula dengan menyiapkan struktur wau mereka manakala ada pula yang mula melukis di kertas mahjong dan seterusnya menggunakan pelekat untuk melekatkan rotan pada kertas . Meskipun setiap sekolah mempunyai cara yang berbeza, mereka seharusnya menyiapkan semuanya dalam masa 2 jam 45 minit sahaja. Bayangkan berapa lenguhnya kaki-kaki kami berdiri hanya untuk menyiapkan wau pada jangka masa yang seakan lama namun sebenarnya sangat pendek bagi kami dan peserta-peserta yang lain. Apabila masa sudah diisytiharkan tamat, para pelajar terpaksa berhenti dan melekatkan wau mereka pada papan tanda pameran. Buat masa rehat, kami dijemput untuk ke kantin untuk santapan nasi yang telah disiapkan sebelum pulang semula ke dewan untuk acara seterusnya. Sementara para pengadil sedang menentukan keputusan, kami dihiburkan dengan persembahan istimewa Gema Puisi Artistik yang bertajuk ’Tujuh Puteri Turun Bersiram” yang terdiri dari para pelajar daripada Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang. Ia adalah kali pertama saya dapat menyaksikan persembahan mereka yang sungguh bernas. Saya kagum melihat rakan sekolah saya melagukan beberapa stanza puisi-puisi di samping rentak gamelan yang turut dimainkan oleh mereka. Tidak hairanlah mengapa mereka telah meraih tempat ketiga dalam pertandingan Gema Puisi Artistik yang diadakan di Maktab Rendah Nanyang! Selain daripada persembahan, kami juga dihiburkan oleh sebuah permainan di mana sedutan filem-filem lama ditayangkan dan kami dikehendaki menamakan tajuk-tajuk setiap filem. Hati kami tergeletek menyaksikan gelagat lucu watak-watak dalam filem klasik P. Ramlee yang ditayangkan. Masa untuk mengumumkan keputusan telah pun tiba. Kumpulan kami dapat merasakan ketegangan suasana di dewan kerana wau-wau yang disiapkan semuanya hebat-hebat belaka. Alangkah terkejutnya kami apabila kami diisytiharkan meraih tempat pertama dalam kategori peringkat sekolah menengah! Kami diundang untuk naik ke pentas dan menerima sijil penyertaan, baucer dan piala yang diberikan. Perasaan saya mengambil bahagian dalam pertandingan ini sangat memuaskan bukan sahaja kerana kami berjaya meraih kemenangan, tetapi juga kerana terdapat kebaikan di sebalik pertandingan itu. Bagi saya, pertandingan itu mendekati saya lagi dengan budaya tradisional membuat wau kerana dalam zaman moden ini, adat membuat wau kurang diamalkan. Oleh kerana pertandingan ini tidak hanya terbuka kepada para pelajar Melayu sahaja, saya yakin pelajar bukan Melayu juga dapat membawa pulang sedikit sebanyak ilmu tentang budaya Melayu kita. Ia juga merupakan ruang di mana para peserta boleh meluahkan makna ’perasaan cinta’ dan bakat mereka dalam seni,

Azlin Arziana Bte Anwar (4M1)
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang