Monday, August 8, 2011

Sayembara Vijasa (photopoems) (183 photos), by Sazali Sahri


I'd like to share my Snapfish photos with you. Once you have checked out my photos you can order prints and upload your own photos to share.
Click here to view photos

Thursday, October 14, 2010

TIGA MADU- Teater Kami Ltd




3 Madu- Satira atau Realisme?


Teater bertajuk “3 Madu” arahan Anwar Hadi Bin Ramli, seorang aktivis seni dan penggerak teater ini merupakan satu persembahan yang menarik berkisarkan 3 wanita, Rashidah, Rafina dan Rasina – ketiga-tiganya ialah isteri Rafi yang tinggal di bawah satu bumbung. Produksi ini berjaya menggarap perhatian saya dengan adegan-adegan lucu di selingan babak-babak serius di mana isu-isu seperti pemikiran wanita yang kian berubah diketengahkan. Syabas kepada Teater Kami Limited bagi menjayakan produksi tersebut, yang diadakan di Playden, yang berlangsung pada 17 April 2010, The Arts House, Old Parliament Building.
Watak Rashidah dalam “3 Madu” digambarkan sebagai seorang yang dominan, sering menentukan jalan hidupnya, cara kehidupan dirinya, dan diri orang lain. Watak Rashidah dikembangkan secara efektif oleh pengarah dan penulis skrip Anwar Hadi Ramli melalui perlakuannya yang tegas dan beret (demanding). Rashidahlah dalang yang membawa kepada plot dan konflik cerita. Watak pipih ini tidak banyak menunjukkan perubahan sepanjang cerita “3 Madu” meskipun dia juga merupakan watak penggerak. Pada awal cerita, Rashidah, 42 tahun, mendapati dirinya kurang sempurna kerana usianya tidak mengizinkannya melahirkan cahaya mata buat suaminya. Sebagai CEO syarikatnya sendiri, wanita yang amat mementingkan kerjayanya ini menjalani kehidupan yang mewah bersama Rafi, suaminya yang 15 tahun lebih muda daripadanya. Oleh kerana rasa kurang sempurna Rashidah, dia meminta sepupunya Rafina, bernikah dengan Rafi.
Rafina, muda, cantik dan graduan baru universiti dari Malaysia telah ditawarkan bekerja di syarikat Rashidah. Dalam pada itu, Rashidah mendesak dan berharap Rafina agar menikahi Rafi. Rafina menurut kehendak sepupu kesayangannya itu meskipun hatinya berat dan keliru pada waktu itu. Watak Rafina yang pada mulanya tidak begitu ketara menjadi lebih signifikan menjelang pertengahan dan akhir cerita. Watak bundar ini menunjukkan beberapa perubahan sikap sepanjang teater ini melalui tingkahnya yang pada mulanya menurut kata-kata Rashidah, dan kemudiannya mula menyangkal perbuatan sepupu dan madunya itu. Rafina didapati mandul setelah gagal mengandung setelah 8 tahun bernikah dengan Rafi. Lantaran itu, Rashidah meminta agar Rafi menikah dengan seorang lagi wanita, kini pilihan Rafi sendiri.
Rasina, madu ketiga dalam cerita ini merupakan wanita pilihan Rafi sendiri. Watak Rasina boleh dikatakan statik kerana tidak jelas perubahan wataknya dalam cerita ini. Rasina pada awalnya tidak serasi tinggal sebumbung bersama Rashidah dan Rafina. Namun lama-kelamaan, mereka berbaik dan melakukan tugas masing-masing menguruskan rumah dan rumahtangga mereka. Tidak lama selepas pernikahannya dengan Rafi, Rasina mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Kelahiran Nur Naim disusuli dengan kematian Rafi yang dilanggar ambulans sewaktu ingin mencari tempat merokok di perkarangan hospital pada hari yang sama. Rasina merupakan watak termuda dan paling ceria di dalam cerita “3 Madu”. Watak ini tidak pernah membantah kemahuan Rashidah walaupun dia sendiri tidak senang dengannya.
Rumusannya, produksi Teater Kami Limited ini telah berjaya menunjukkan perkembangan watak-wataknya dengan berkesan - ketiga-tiganya mempunyai perwatakan yang jauh berbeza. Saya kagum dengan jalan cerita teater ini dan unsur-unsur humor yang diselitkan amat efektif dalam menangkap perhatian saya sepanjang 90 minit cerita ini. Meskipun cerita ini hanya rekaan semata, watak-watak dan perwatakan yang ditonjolkan di dalam cerita berkemungkinan besar wujud di dalam masyarakat kita kini secara realisme yang semakin maju di dalam arus pemodenan, atau ianya sekadar satira untuk menyindir kaum wanita yang semakin beret dalam mengatur hidupnya sendiri dek ”human rights” dan ”freedom of speech” bagi kaum Hawa. Sekali lagi, syabas Teater Kami dan syabas Encik Anwar Hadi Bin Ramli!

Siti Umairah Bte Abdul Ghani
Pelajar H2- Kesusasteraan Melayu
Maktab Rendah Nanyang (2010)
Bekas Pelajar BPGHS Program EMAS 2009.

Wednesday, September 29, 2010

Pesta Raya @ Boon Lay with BP (244 photos), by Sazali Sahri


Silalah kunjung ke lelaman ini untuk menyaksikan PESTA RAYA @ Boon Lay pada 25 Sep 2010.
Click here to view photos

Monday, September 6, 2010

Bicara Sastera (Novel) bersama Rosyam Nor - 3 Sep 2010 di BPGHS.



DEWA CINTAKU- Karya Dilla Hussein
Watak utama- Rosyam Nor
SINOPSIS

Iqbal adalah seorang lelaki yang mempunyai dua jiwa. Di sebalik penampilan elite dan berprotokol, Iqbal membendung sengsara yang ditinggalkan oleh arwah ayahnya, Hanafi. Pada usia 4 tahun, ibubapanya bercerai dan Iqbal dibawa lari oleh ayahnya. Iqbal dibesarkan dalam disiplin oleh ayah yang garang tidak bertempat. Hiburan tidak dibenarkan sama sekali dan Iqbal harus tumpukan perhatian pada akedemiknya. Iqbal tidak pernah kenali siapa darah dagingnya selain dari ayah yang dibencinya. hidup Iqbal sejak kecil, dinyamankan oleh Rohaya, majikan ayahnya. Hanafi meninggal dunia sewaktu usia Iqbal 18tahun lalu penjagaan ke atas Iqbal diambil alih oleh Rohaya yang begitu prihatin pada Iqbal sejak kecil. Iqbal sejak kecil, adalah seorang pengidap penyakit Asthma.

Iqbal dihantar belajar ke luar negeri dan sekembalinya Iqbal ke tanah air, dia menjadi pentadbir Noraya Holdings yang merupakan syarikat milik Rohaya dan suaminya Norhan.

Hari ini, pada usia 33 tahun, Iqbal begitu kukuh kehidupannya malah dengan share yang diberi oleh Rohaya dan Norhan, Iqbal sudah dikategorikan di dalam golongan orang kaya. Sejak 15 tahun yang lalu, Iqbal cuba menjejaki ibu, Mariana Anastasia Hedrick Abdullah dan kakak kandungnya Dewi yang hanya dikenali menerusi sekeping foto yang dijumpai di dalam kotak yang disimpan di dalam setor oleh arwah ayahnya. Tanpa nama penuh kakak kandung Iqbal, tentu sekali sukar untuk di kesan namun Iqbal tidak pernah berputus asa kerana mimpi-mimpi yang sama yang sering datangi tidurnya, dianggap sedang menanti untuk di selesaikan. Wajah-wajah insan di dalam foto keluarganya, adalah wajah-wajah yang muncul di dalam mimpi yang sama.

Rohaya selalu mengingatkan Iqbal untuk berumahtangga tetapi Iqbal tidak berminat kerana terlalu obsess untuk bertemu darah daging yang dicari selama ini. Takdir telah melukiskan segalanya. Iqbal menaruh hati pada June, seorang wanita berusia 37 tahun yang merupakan seorang pemuzik dan penyanyi pub.

Dalam masa yang sama, Norhan mahu menjodohkan Iqbal dengan Selena yang merupakan anak kepada arwah kawannya. Namun sikap Selena yang terlalu mengada-ngada dan suka membentak-bentak, membuat Iqbal meluat padanya.

Iqbal menghadapi masalah untuk memenangi hati June kerana wanita itu tidak perlihatkan minat padanya. Hakikatnya, June yang juga punya kesalan terhadap penceraian ibubapanya serta menjadi mangsa keadaan hingga hidup merempat sewaktu kecil dulu, masih lagi dikhianati seorang kekasih yang dinantikan kepulangannya sejak lapan tahun yang lalu.

Penyiasat persendirian temui Dewi Fatimah yang mengaku dirinya adalah kakak kandung Iqbal. Wanita berusia 37 tahun itu adalah orang susah yang datang dari Ipoh. Hidup Iqbal bahagia kerana kini dia sudah temui darah dagingnya. Fatimah meminjam wang RM40ribu dari Iqbal dengan alasan mahu bayar hutang bank ke atas tanah yang dicagarkan oleh suaminya. Apabila dapat wang tersebut,Fatimah lesap dari hidup Iqbal. Fatimah akhirnya diketahui bukan kakak kandung Iqbal menerusi nama datuk mereka yang berbeza.

Iqbal berjaya temui Fatimah di Ipoh lalu minta penjelasan. Fatimah menceritakan foto keluarga itu didapati dari seorang kanak-kanak perempuan Dewi Anastasia bt Hanafi yang diambil jadi anak angkat dalam keluarganya.

Bukti daripada penyiasat yang menyatakan June adalah Dewi yang di cari oleh Iqbal. Iqbal merasa sangat tertekan kerana wanita yang dicintainya adalah kakak kandung yang selama ini dicari. Tetapi iqbal masih tidak dapat menerima hakikat itu.

June yang sudah lapan tahun tidak bertemu ibunya Mariana, mahu Mariana ambil alih tanggungjawab June untuk menceriakan hidup Iqbal. Mariana mula di selubungi dosa-dosa lama yang dirahsiakan daripada pengetahuan semua orang.

Kehilangan Iqbal menimbulkan keributan di wad hospital. June diberitahu. Kali ini, June terpaksa pergi mencari Iqbal. June tidak mahu terjadi apa-apa pada diri Iqbal. Pihak polis juga telah dimaklumkan.

Dua jam kemudian, June tiba ditempat itu. Kereta Iqbal ada tetapi Iqbal tiada. June sebak, fikirkan Iqbal sudah terjun dari tebing itu. June kesali kekejaman hatinya yang hanya pentingkan dirinya sendiri hingga telah mengorbankan jiwa Iqbal. Iqbal bergelut dengan maut. Namun rohnya mohon untuk terus hidup agar dia dapat menatap wajah darh daging yang dicarinya selama ini. Allah maha kuasa, Iqbal terus bernyawa.


Hari untuk June berangkat ke Jakarta sudah tiba. June tidak mahu sesiapapun menghantarnya ke KLIA kerana tidak suka pada perpisahan sebegitu. Iqbal,Rohaya dan Norhan hormati permintaan June. Iqbal yang tidak dibenarkan menghantarnya walau ke kereta sekali pun.

Dua puluh minit selepas June beredar, Jasmin datang ke kondo Iqbal. Jasmin membawa sepucuk surat yang ditemui di dalam laci meja solek arwah Mariana. Dengan tulisan yang di sahkan oleh Jasmin adalah tulisan Mariana, isi kandungan surat itu menjelaskan segala perbuatan Mariana. Iqbal terlalu gembira kerana June bukan darah dagingnya dan ini melayakkan mereka untuk berumahtangga. Iqbal cuba hubungi June tetapi talian talipon June sudah tidak aktif. Iqbal bergegas pergi ke KLIA untuk mengejar June. Iqbal menempah tiket untuk esok namun jiwanya telah luruh kerana setibanya June diJakarta, June akan menandatangani kontrak kerjayanya dan untuk mereka bersatu entahkan bila atau mungkin June akan bertemu dengan pemuzik hebat di luar sana sebagai penggantinya.

Iqbal memandu pulang dalam lemah namun berdoa agar Tuhan kembalikan June kepadanya. Tiba-tiba kenderaan June memotong perjalanan kereta Iqbal. Iqbal menyangka Ayim yang memandu, membawa pulang kereta June. Iqbal tidak ada mood untuk bebicara. Tiba-tiba tangan wanita yang memakai cincin berlian yang berkilau, keluar dari tingkap kereta, mahukan Iqbal berhenti ke tepi. Iqbal bahagia kerana June ada di depannya.

Iqbal dihadirkan kepada June untuk membayar segala keperihan yang berpunca dari Mariana, ibu kandung yang tak pernah dikenali oleh Iqbal. Kesengsaraan hidup Iqbal dan June dibayar oleh sebuah keajaiban yang telah diturunkan buat mereka..

TAMAT.

Sunday, August 15, 2010

Program Penyerapan Kesusasteraan ke Bali 13-17 Mar 2010




Lautan biru yang teramat indah,

Pokok kelapa setinggi bangunan;

Di Bali terdapat banyak sawah,

Mencucuk padi, beras dihasilkan.


Bali wujud di Indonesia,

Dikunjungi pelancong dari merata dunia;

Keunikan Bali sangat berbeza,

Mempertahankan bangsa meneguhkan agama.


Oleh: ‘Izzati Safwanah (3M2) dan Nurul Izzah (3M2) BPGHS

























Wednesday, April 14, 2010

DIRGAHAYU EMAS Bpghs!!!! Juara Deklamasi Sajak Kreatif NUS 2010
































Nathania Christy, 4T1, BPGHS
FATAMORGANA BAWA JUARA KEPADA EMAS BPGHS!!!
“Bayangkan...
Kau ingin mencapai sesuatu yang hampir dalam genggaman
Terlepas. Jauh. Pudar.
Halangan menjelma sini sana
Bukan sekali, bukan dua
Namun berkali kali, tidak terkira
Yang dekat itu cabaran, yang jauh itu rangsangan
Biar nyala kian membara
Bangkit. Diri. Teruskan usaha
Janganlah sesat dalam lembah fatamorgana”

Begitulah penggalan paragraf pertama daripada sajak bertemakan “Fatamorgana” yang kami, pelajar BPGHS, lombakan di Deklamasi Sajak Kreatif NUS (Universiti Nasional Singapura) 2010. Sungguh tidak disangka0sangka, kemenangan sebagai juara berhasil kami raih ‘dalam genggaman’. Semua nya menjadi nyata – bukan sekedar ‘fatamorgana’.

BPGHS memulakan prestasinya sebagai pemenang sajak terbaik di tahun 2008, sedikit demi sedikit mendaki bukit kejayaannya sebagai pemenang tempat ketiga di tahun 2009, dan keluar sebagai juara di tahun 2010 ini. Semua itu tidak lepas daripada usaha gigih rakan-rakan dalam mempersiapkan sajak dan latihan mingguangnya.

Fatamorgana, bagi kami, adalah sebuah ilusi – dunia khayalan. Layaknya pengelana di padang gurun yang merindukan mata air dan berusaha menggapai apa yang sebenarnya hanyalah bohong belaka, kamipun mencuba menggunakan analogi ini dan mengaplikasikannya ke dalam dunia moden. Alam fatamorgana dan kebahagiaan maya boleh diasosiasikan dengan manusia yang berusaha menggapai cita-citanya dengan penuh perjuangan. Ianya juga boleh dihubungkan dengan manusia yang tertipu, terkecoh, dan menganggap perang adalah solusi bagi segala masalah, menganggap kecantikan jasmani melebihi segalanya. Itulah alam fatamorgana mereka. Sajak ini bertujuan menyedarkan manusia untuk keluar daripada ilusinya dan mencari kebenaran yang hakiki.

Sebuah sajak yang sarat makna, yang semakin matang pula setelah dikoreograf oleh encik Anwar Hadi, pengarah gaya yang sudah seperti kawan kami sendiri – penuh ekspresi-ekspresi lucu dan spontan yang membuat kami tertawa terpingkal-pingkal. Encik Anwar dengan sabar dan penuh antusias melatih kami. Tidak sekedar mengarahkan, beliau juga melibatkan kami dalam menginterpretasikan sajak tersebut dan bagaimana memasukkan segenap jiwa kami agar menghidupkan sajak tersebut. Sungguh, kejayaan kami tidak lepas daripada peranan beliau.

Setelah tahun lepas saya ikut berlakon, maka tahun ini saya mencuba pengalaman baru sebagai penata muzik – tugas yang cukup mendebarkan, kerana jika saya salah, maka akan berakibat teruk bagi seluruh kumpulan kami. Sebagai penata muzik, tidak begitu banyak latihan diperlukan, namun bagian menakutkan nya adalah kerana saya tidak diberikan latihan pada alat sebenarnya sehingga saya tidak boleh membiasakan diri dahulu – begitu juga dengan penata lampu.

Detik-detik menjelang penampilan kami, hati saya berdegup kencang. Tiba-tiba sahaja ada kesalahan teknikal sehingga laptop tidak boleh berfungsi dengan baik. Semua yang berwajib pun dengan segera bergegas mencuba membetulkan masalah tersebut. Kepanikan terjadi di ruang teknikal tersebut. Saya khuatir rakan-rakan saya yang akan tampil menjadi ikut-ikutan cemas.

Untunglah masalah tersebut tidak berkepanjangan dan semuanya boleh berjalan dengan lancar. Siapa yang menyangka kami boleh tampil sebagai juara – prestasi yang begitu gemilang.

Saat nama sekolah kami disebut, lautan kegembiraan meluap tak terbendung dan kami semua melompat kegirangan dan berpelukan erat – tanpa mempedulikan lagi perbezaan yang ada; senior-junior, dari Indonesia ataupun Singapura, semua menyatu dalam tangisan bahagia. Sungguh pengalaman yang begitu bererti. Pelajaran yang boleh dipetik, jauh lebih berharga melebihi kemenangan semata.

Deklamasi Sajak '10
FATAMORGANA

Wahai iblis
Iri hati, cemburu
Menyelubungiku
Aku seru namamu!
(Namamu)
Puaskan nafsu ini!
Hamba rela sujud
Hamba rela korbankan
Kambing, kerbau, ikan bilis, ikan paus
Ayam panggang?
Pulut kuning?
Namakan sahaja
Wahai si iblis yang terbabit
Di malam pahit,
Berbulan sabit

Iblis :
Mari,mari masuklah ke dalam alamku,
Alam fatamorgana
Sahutlah seruanku

Bayangkan . . .
Kau ingin mencapai sesuatu yang hampir dalam genggaman
Terlepas. Jauh. Pudar.
Halangan menjelma sini sana
Bukan sekali, bukan dua.
Namun berkali-kali, tidak terkira
Yang dekat itu cabaran,
Yang jauh itu rangsangan
Biar nyala, kian mebara
Bangkit. Diri. Teruskan usaha.
Janganlah sesat dalam lembah fatamorgana.

Aku yang masih
Di hujung perhentian
Hidup ini
Semakin ku usir
Semakin is hadir
Semakinlu lupakan
Semakin membelenggu fikiran
Ku mengejar siang dan malam
Surut dan pasang
Mencari satu kebebasan
Mencari satu kedamaian
Biarpun jauh kularikan diri
Namun ia tetap melingkar
Di tangkai naluri
Aku ingin mencapai ke alam itu
Alam fatamorgana
Tetapi . . .
Di mana akhirnya
Perjalanan ini?

Manusia hanya ingin berkuasa
Menggengam dalam 'maha perkasa'
Terpedaya dengan perasaan prasangka
Terjerumus ke dalam peperangan dunia
Apakah masalah doi antara manusia
Dapat ditangani dengan pembunuhan sahaja?
Apakah harus kita percaya
Darah yang terjihad
Menyelesaikan segalanya?

Bahan terasa di seluruh dunia
Pencamaran udara perbuatan manusia
Yang bersikap degil, tamak, haloba
Bagai belanda minta tanadiberi satu, mahu semua
Ingin merebut kenikmatan dunia
Tetapi perangai tidak serupa
Hidup dalam alam fatamorgana
Tertipu dengan kebahagian maya
Mambawa padah, membawa pancaroba
Sedarlah wahai kamu manusia!

Dua kosong satu dua
Akhir zaman kian tiba
Alam terazab datang menjelma
Menggerun minda kaum manusia
Ramalan demi ramalan
Hujah demi hujah
Aku berhak untuk bertanya
Siapa yang betul, siapa yang salah?
Denagarlah manusia!
Dengarlah rintihanku!
Pudarkan khayalan, biar jadi debu
Jangan kau tertipu
Jangan kau terlena
Dunia ini fana, hanya untuk sementara.

Molek bestari dambaan setiap insan
Segalajalan ditempuh sekalipun menyakitkan
Hanya demi sebuah penampilan
Apalah erti semua itu
Topeng yang melukiskan rupamu
Tapi tak menceminkan hatimu
Terjerat dalam obsesi membutakab sanubari
Keluarlah dari ilusi
Carilah kebenaran yang hakiki

(KITA JUARA!!!!)

Sunday, March 7, 2010

”Dekolonisasi Rohani” dan usaha mencari Keperibadian Melayu.

”Dekolonisasi Rohani” dan usaha mencari Keperibadian Melayu.

(Analisis ringkas menyanggah pendapat tentang ”Hari Raya: Orang Melayu Keliru?”)

- oleh Pelajar-pelajar Kesusasteraan Melayu Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang (BPGHS) Menengah 4, Kelas Kesusasteraan bimbingan Cikgu Sazali Sahri.

Sebagai pelajar-pelajar Kesusasteraan Melayu peringkat O, Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang (BPGHS), kami sering dan selalu teruja dengan pandangan dan respons Cikgu Sazali Sahri, Ketua Subjek Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu tentang genre Melayu Klasik/tradisional mahupun genre novel dan sajak. Polemik akademik melalui pembelajaran sastera di dalam dan luar kelas selalu membuat kami ghairah dan selalu memikirkan persoalan tajam yang Cikgu Sazali kemukakan. Kami terdorong untuk mencari, menghurai dan mengupas banyak persoalan itu melalui kajian peribadi dan kerja kumpulan kerana Cikgu sering ajukan pandangan bangsa, budaya, agama dan nilai universal untuk kami fikirkan dan bahaskan.

Kami dididik dan dikesani oleh pandangan (juga melalui pengajaran Cikgu Sazali), Dr V.I. Braginsky yang menulis buku ”Erti Keindahan dan Keindahan erti dalam Kesusasteraan Melayu Klasik” bahawa apa yang dicari di dalam kesusasteraan Melayu tidak lain dan tidak bukan adalah- hati nurani (ilmu Allah)

Semua Kesusasteraan Melayu ada banyak kaitan dan ikatan baik dari segi lakonan, budaya Melayu, perbualan dan peradaban, semuanya mementingkan ketinggian peribadi dan personaliti peribadi dan meningkatkan pendidikan melalui zamannya. Zaman klasik mementingkan kesusasteraan penuh emosi dan alegori, maka timbullah genre puisi seperti gurindam, seloka, masnawi, pantun, syair kerana tiada bidang lain dalam kebudayaan tradisional yang dapat menandingi kesusasteraan klasik dalam mencerminkan segala aspek kehidupan rakyat Melayu sampai ke akarnya yang tersembunyi.

Apa yang kami pelajari, melalui pelajaran kesusasteraan Melayu bahawa segala imejan, alegori, emosi, komentari, simbol berada di tahap paling luar di ’bulatan hidup’ (most outer core).Di dalamnya, ada ’bulatan hidup’ (inner core), yang demikian itu adalah akal budinya- manifestasi dari peribadi dan konstruksi ’Kemelayuan’ yang menjadi benang penghubung manusia dari abad ke abad, yang mengaitkan generasi suatu bangsa yang datang menggantikan suatu generasi yang ada. Manakala yang ditengah-tengah dan yang paling dalam ’bulatan hidup’(innermost core) itu adalah hati nurani- tanda-tanda rohani dan ’Ilmu Allah’ iaitu kanon agama (Religious Canon). Kanon agama ini merupakan akar budaya Melayu yang dapat dilihat daripada ’bulatan hidup’

Pendek kata- Kesusasteraan Melayu yang kami pelajari bukan sekadar genre puisi dan prosa tradisional dan moden dari buku antologi ’Anak Bumi Tercinta’, ’Anak Laut’ dan Novel ’Subuh Hilang Senja’ karya Suratman Markasan, malah kami didedahkan dengan isu keSingapuraan dan isu masyarakat dunia. Sebabnya, kesusasteraan Melayu itu terus hidup kerana ianya berdialog tentang manusia dengan mematuhi ’hukum-hukum keindahan’.

Keindahan bahasa dan bangsa serta adat resam masyarakat nusantara dan Melayu di Singapura, Malaysia, Brunei dan Indonesia banyak kesamaan dan keseragamannya. Oleh itu, agak ’melatah’ kami dibuatnya apabila ada artikel yang sangat-sangat menyentuh hati kami tentang adat resam, budaya dan pemahaman kami tentang kehidupan masyarakat Melayu yang dikatakan ’keliru’ kerana dikatakan ada beberapa adat dan budaya Melayu itu tidak mengikut adat dan cara keterbiasaan hidup orang bangsa Arab dan agama Islam. Cikgu Sazali mengarahkan kami agar jangan ’melatah’ apabila membuat sebarang komen, lantas menyuruh kami membuat kajian ini....

Isu dekolonisasi rohani dan usaha mencari keperibadian Melayu tercabar dan dicabar khususnya di tengah-tengah arus dunia moden dengan horizonnya yang terbentang luas. Pada pendapat dan kajian kami- keperibadian Melayu terdiri dari dua unsur: idea nasionalisme dan idea Islam. Sebab itulah dahulunya pernah timbul rangkai kata ”masuk Melayu” secara luaran mencerminkan aspek nasionalisme bangsa, yang bermakna, ’masuk Islam’ secara implisitnya menunjukkan aspek orang Islam.

Penulis yang ’mengkritik’ dan ’menegur’ bangsa Melayu dengan adat resam yang ‘keliru’ kerana tidak memakai jubah pada pagi raya dan memohon ampun dan maaf di pagi raya serta menangis tatakala ’melagukan’ takbir aidilfitri sewajarnyalah menerima banyak ’tentangan’, teguran dan komen dari segenap pelusuk masyarakat Melayu dari seorang ulamak, Ustaz Pasuni Maulan (BH:1/10/2009), artis Melayu mapan yang menetap di London- Encik Art Fazil (BH:Spektra 4/10/2009) dan khalayak pembaca (BH:Forum 30/9/2009 dan 3/10/2009).

Yang demikian sememangnya dari awal kupasan kami bahawa kehidupan dan keterbiasaan kehidupan masyarakat Melayu yang mudah menerima ilmu Allah iaitu agama Islam adalah sebab utama mengapa cara hidup Melayu yang telah diwarisi semenjak zaman Melayu tradisional/klasik asalkan tidak bertentangan dengan kitabullah amatlah disanjung tinggi. Demikian kata ahli bijak pandai- ”adat menjunjung syarak, syarak menjunjung kitabullah” Lihatlah bagaimana Wali Songo (wali sembilan) yang menyebarkan Islam di pulau Jawa (yang dahulunya beragama Hindu dan Hindu-Buddha) yang memeluk agama Islam lebih lewat dari orang Melayu di Melaka dan Pasai dididik dengan alat muzik Jawa kuno –Gamelan- yang berasalkan alat muzik istana Hindu yang digunakan untuk bersyair beralaskan bahasa Jawa Kromo untuk menyebarkan syiar Islam. Hingga kini, BPGHS masih ada dan mengekalkan adat budaya alat muzik Gamelan yang menjadi ’kemestian’ dan ’wajib’ dipelajari oleh semua pelajar EMAS (Elective Malay for Secondary Schools) dan pelajar-pelajar kesusasteraan BPGHS kerana Cikgu Sazali menjunjung adat Melayu dan berpaksikan nilai Islam. Kumpulan Gamelan kami juga banyak mempersembahkan Gamelan BPGHS di pelbagai acara masyarakat.

Janganlah dilihat pakaian baju Melayu/baju Kurung, takbir aidilfitri, ziarah kubur, bermaafan di pagi raya, kunjung mengunjung, berpakaian jubah/pakaian adat, memberi duit zakat sebagai ’memelayukan Islam’, pandanglah yang demikian itu sebagai warna-warni Islam yang tidak akan berubah dek zaman kerana Allah telah menjanjikan bahawa Islam itu agama untuk semua manusia dan untuk semua zaman. Manusia Melayu sedang dan akan mengalamai rekonstruksi budaya (cultural reconstruction). Perubahan arus zaman dan teknologi mengizinkan masyarakat Melayu berubah melalui perlakuan dan cara memanifestasikan budaya mereka, namun mereka tetap dengan ciri dan nilai Islamnya yang unik dan keunikan ini juga ada pada setiap budaya dan masyarakat Islam bangsa lain mahupun di Uzbekistan, Luxembourg , Iceland, Surinam, Chile, Sierra Leone, Pulau Kokos-Keeling dan Pulau Christmas (di Australia).

Kajian dan pembacaan yang jitu haruslah dibuat apabila kita cuba membuat sebarang kritikan dan teguran. Malah lebih dashyat lagi apabila sebarang kritikan dan teguran itu dibuat dan dilemparkan dengan tiada satu bentuk huraian atau alternatif positif atau “constructive solutions” yang diketengahkan. Hanya dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang huraian dan kajian lanjutan. Malangnya, peribahasa melepaskan batok ditangga itu amat tidak diperlukan oleh masyarakat Melayu sebab sekarang ini kita haruslah kuat dan gigih bersaing dengan masyarakat lain di Singapura demi penakatan dan ilmu generasi Y yang lebih canggih untuk duduk sama rendah , berdiri sama tinggi dengan bangsa lain.

Kajian kami selanjutnya ialah dari buku Profesor Asmah Haji Omar- ”Bahasa Melayu di Samudera- benih yang Baik menjadi Pulau”. Profesor mengatakan bahawa ”ada tiga jenis sistem semiotik atau sistem perlambangan yang dipertahankan oleh orang-orang Melayu di Australia (khusus kajian di Pulau Kokos-Keeling dan Pulau Christmas), iaitu Bahasa Melayu, budaya Melayu dan agama Islam. Antara ketiga-tiga jenis sistem semiotik ini, agama Islamlah yang paling dipertahankan...” -hlm. 22-23. Apa yang dapat disimpulkan daripada kajian ini adalah ciri identiti orang-orang Melayu di Australia yang paling utama ialah agama Islam yang disebatikan dengan faktor asal usul mereka, iaitu alam Melayu. Bahasa Melayu dan budaya Melayu sebagai sistem semiotik dilihat sebagai urat saraf kepada identiti yang utama itu.

Kami hanyalah pelajar-pelajar kesusasteraan Menengah 4 yang hanya mampu membuat analisis dan kajian ringkas mengenai budaya dan adat resam masyarakat Melayu yang indah bertentangan dengan coretan di Berita Harian ’Hari Raya : Orang Melayu Keliru?’(30/9/2009), maka diharapkan pelajar-pelajar lain dan pembaca dapat manfaatnya bersama. Wallahu ’alam bissawab.

Kerja kumpulan:

Izyan Liana Zulkepli , Nur Farhanah Rosli

Siti Aisyah Sahrol, Siti Umairah Abdul Ghani

Siti Syahirah Razak, Siti Noor Sabrina Noor Alim

Nur Adila Ismail.