Tuesday, November 20, 2007

Pendedahan Awal Genre Sastera dan Penulisan

Encik Djamal Tukimin, Encik Ismail Wardi, Encik Anuar Othman dan Cikgu Karmin Abbas.











Kaedah Pengajaran Sastera

Lembaran Kerja Puisi

Tuesday, November 13, 2007

Sayembara Cerpen ASAS '50 2007

Muhd Khairool Haque Abdul Kadir (3M1)
Pemenang tempat kedua dalam antologi "Purnama Senja".

Sayembara Cerpen ASAS '50 2007

Farhanah Bte Zailani (4A)
Pemenang tempat ketiga
Antologi "Purnama Senja".

Thursday, October 11, 2007

(dari kiri) Farhan, Khairool, Farhanah, Hazwani dan Musfirah
Pemenang Utama dan Saguhati Sayembara Cerpen Asas 50 17 March 2007

Sajak Insan Kencana (Khas buat Cikgu Sazali)

Kau mengisi kelompangan
di atmaku
dengan nurul kencana itu
tanpa terlintasnya
kalimah jemu
dan kalimah bosan
di sanubarimu
yang kudus

Kau menyaluti dan menyelimuti
batinku yang tandus
dengan lapisan cahaya kencana

Batin yang lemah
tiba-tiba ditumbuhi kekuatan
untuk menempuhi segala-galanya
dengan cahaya kencana itu

Kau menghidupkan
obor kencana
yang telah lama malap
kau memarakkannya semula
dengan semarak-maraknya

Lari bergelimpangan
sejauh lima batu
semua syaitan-syaitan
takut dengan obor kencana
yang marak itu

Namun memang hukum alam
obor kencana akan meliuk-liuk
apabila ditiup bayu godaan
sebelum terpadam akhirnya

Dengan kesabaran
yang memang sudah subur di jiwamu
kau membuat obor kencana itu
semakin kuat semakin hari
semakin marak semakin hari
agar tidak terpadam
ditiup bayu godaan

Kaulah insan kencana
kerana kau pengisi nurul kencana
penghidup obor kencana
dan penyalut cahaya kencana

Ilmu itu emas
ujar insan kencana ini
tanpa insan kencana ini
masyarakat lemah
selemah-lemahnya
masyarakat layu
selayu-layunya
masyarakat mundur
di sungai ketinggalan
kerana cahaya kencananya itu
azimat kejayaan.

Muhammad Khairool Haque Abdul Kadir
Pelajar Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang
Berita Harian, Isnin, 11 Sep 2006.

Tuesday, August 7, 2007

Esei

Bahagian B

6. Berdasarkan novel “Subuh Hilang Senja”, terangkan empat pengajaran yang boleh dijadikan iktibar oleh masyarakat. Berikan juga contoh-contoh yang sesuai untuk menyokong jawapan kamu. (20 markah)

(GCE O-Level 2006)________

Novel “Subuh Hilang Senja”, yang ditulis oleh Suratman Markasan, merupakan sebuah buku yang penuh dengan pengajaran. Dari setiap sudut dalam cerita ini, pasti ada sahaja pengajaran yang ingin disampaikan oleh Encik Suratman.

Pengajaran pertama yang terdapat dalam novel ini adalah sikap hormat terhadap orang-orang miskin. Encik Suratman mahu menyampaikan bahawa kita tidak harus pandang rendah terhadap mereka. Ini kerana orang-orang miskin terbukti berkeupayaan untuk belajar sehingga ke maktab rendah elite. Ini telah dibuktikan dalam cerita ini. Sebagai contoh, Subuh, seorang anak Melayu yang miskin, mampu pergi ke Raffles Institution lalu ke maktab rendah elite. Ini kerana dia hidup berdikari dan mempunyai disiplin ketika belajar. Walaupun Subuh miskin dan bapanya tidak memberinya wang untuk keperluannya, dia mampu mencari rezeki sendiri kerana mempunyai inisiatif. Subuh dikatakan seorang yang pandai kerana berjaya masuk ke maktab rendah elite. Dalam cerita “Subuh Hilang Senja” ini, Subuh merupakan watak Melayu yang ideal. Jadi, di sini, kita diingatkan supaya tidak berpandang rendah terhadap orang-orang miskin kerana mereka pun ada nilai dalam diri mereka.

Pengajaran seterusnya pula memberitahu kita tentang soal agama. Melalui watak Subuh, Encik Suratman hendak menasihati kita, pembaca novelnya, bahawasanya kita tidak harus tinggalkan solat. Solat merupakan tiang Islam. Ianya wajib untuk dilakukan oleh semua orang-orang Islam. Pengajaran ini disampaikan daripada watak Subuh. Sebagai seorang yang berpegang kepada agama, Subuh menasihati Senja, yang jarang bersolat untuk ingat kepada Tuhan. Encik Suratman pun hendak mengingatkan para pembaca untuk membuka mata dan sedar bahawa satu hari nanti, kita akan menemui maut walau apa jua. Ini disampaikan melalui watak Tan Peng Yeo alias Senja. Apabila berada di tanah perkuburan setelah menziarahi kubur Subuh, sedang mereka hendak pulang ke rumah, Senja pernah berbisik dalam hatinya “satu hari nanti, aku akan berada di bawah juga seperti kau, Subuh!”. Ini menunjukkan bahawa Encik Suratman mahu menyedari para pembaca bahawa kita akan menemui maut jua pada satu hari. Maka itulah, penting bagi kita untuk mengingati kepada Tuhan pada setiap masa.

Selain dari soal keagamaan, cerita ini juga mengetengahkan sifat berdikari dalam seseorang itu. Encik Suratman ingin menasihati para pembaca agar tidak selalu mengharapkan sesuatu daripada seseorang itu. Misalnya, kita tidak harus mengharap untuk diberikan sesuap nasi oleh ibu kita. Kita bolehlah mencari rezeki sediri walaupun tidak berbekalan apa-apa. Ini dapat dilihat daripada watak Subuh Bin Mahmood. Subuh, sebagai watak pelajar Melayu yang ideal, tidak bergantung harapan terhadap ibu bapanya untuk wang. Malah, dia sungguh berdikari dalam mencari rezeki sendiri dengan bekerja di Pusat Makanan Haw Par. Pengajaran di sini ialah untuk memupuk sifat berdikari dalam diri kita supaya kita akan terbiasa dengan sifat berdikari. Walaupun Subuh mempunyai banyak tanggungjawab sebagai seorang pelajar, dia tetap berdikari. Biasanya, orang yang berdikari itulah yang berjaya dalam hidup mereka. Sebagai contoh, kita lihat pada Subuh. Sungguhpun Subuh miskin, dia berjaya pergi ke maktab rendah elite. Ini kerana dia berdikari dalam soal pelajaran, kerja dan keluarga. Secara keseluruhan, Subuhlah yang telah menunjukkan kita contoh baik pada erti ‘berdikari’.

Seterusnya, pengajaran yang hendak disampaikan oleh penulis ialah kita tidak harus menilai seseorang itu daripada penampilannya. Ini kerana penampilan yang kurang bagus tidak bermakna bahawa seseorang itu baik dan penampilan yang amat bagus itu tidak semestinya bermakna bahawa orang itu jahat. Sebagai contoh, Mr Rodrigues adalah seorang serani. Kebanyakan serani sejagat adalah tampan dan kacak. Walaupun dia tampan dan kacak sehinggakan Cikgu Roziah terpikat kepadanya, dia tidak berperangai baik. Ini boleh didapati dalam perbualan atau dialog antara Senja, Bujang dan Salih yang mengatakan bahawa Mr Rodrigues tidak bersikap adil kerana selalu menghukum mereka akibat fitnah dan kesalahan yang kecil. Dia suka mencari pasal dari murid-muridnya. Mr Rodrigues juga bersikap stereotype. Selain dari itu, dia dikatakan seorang yang memihak kepada bangsa yang berkulit putih sahaja. Dalam istilah Inggeris, dia akan dikatakan sebagai seorang yang ‘racist’. Dia suka tuduh-menuduh dan memfitnah keempat-empat rakan ini. Maka itulah, dari contoh ini, kita mendapat tahu bahawa rupa luaran seseorang itu tidak melambangkan watak sebenar orang itu. Yang tampan tidak kelihatan buruknya, yang kurang tidak kelihatan baiknya.

Atiqah Sarkawai
3M1
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang.
Berdasarkan novel "Subuh hilang Senja", pertama sekali saya telah mempelajari bahawa kita tidak haruslah cuba untuk mengaibkan seseorang itu walaupun orang itu membenci kita lantas membuatkan kita kadang-kala benci padanya. Ini kerana setiap manusia harus mempelajari untuk memaafkan sikap seseorang itu walaupun kita berasa sungguh marah dengan sikapnya pada kita. Ini juga bermakna saling bermaaf-maafan sesama manusia. Kita juga haruslah memelihara keaibaan seseornag itu kerana setiap manusia mempunyai maruah.

Seperti apa yang dilakukan Subuh di dalam novel itu. Walaupun sudah beberapa kali Mr Rodrigures menghukum Subuh dan teman-temannya tanpa bukti yang kukuh dan atas kesalahan yang tidak pernah mereka lakukan. Contohnya Subuh dan teman-temannya pernah dihukum rotan didepan sekolah mereka kerana kerap tidak menghadiri latihan bola sepak kerana Subuh harus bekerja untuk mendapatkan wang bagi membayar perbelanjaan sekolahnya. Walau bagaimanapun, Subuh telah memberitahu Senja agar dia bersama Salih dan Bujang tidak akan memberitahu sesiapa sahaja siapa pasangan yang mereka lihat sedang bercumbuan di Science Park sewaktu terjadinya kejadian rompakan di situ dimana Subuh telah ditikam oleh seorang perompak semasa ingin menyelamatkan Mr Rodrigues dan Cikgu Roziah daripada dirompak. Senja, Bujang dan Salih pula taat pada janji mereka iaitu tidak membocorkan rahsia tersebut kepada sesiapa walaupun mereka, terutama sekali Salih, ada menyimpan dendam kepada Mr Rodrigues. Walaupun Subuh dan teman-temannya telah beberapa kali teraniaya oleh Mr Rodrigues, mereka sanggup menyimpan dendam mereka semata-mata untuk menutup keaiban Mr Rodrigues yang mempunyai hubungan sulit dengan Cikgu Roziah.

Pengajaran kedua yang saya perolehi daripada novel ini ialah jangan memandang rendah pada orang-orang miskin ataupun orang-orang yang berasal daripada pulau. Walaupun mereka tidak mempunyai kekayaan ataupun perolehi reputasi yang tinggi, mereka masih mempunyai kabijaksanaan dan juga harus sentiasa dihornati oleh kerana sifat-sifat mereka yang harus dipuji. Dengan kebijaksanaan mereka, ada di antara mereka yang mampu belajar di maktab rendah walaupun yurannya agak mahal dan mereka mungkin juga dapat ke menara gading dan berjaya di masa hadapan. Perangai mereka juga adakalanya lebih mulia berbanding orang-orang yang kaya dan berasal daripada bandar.

Seperti di dalam novel ini, walaupun Subuh, Senja dan Bujang berasal daripada pulau dan miskin, mereka mampu belajar hingga ke maktab rendah dan ingin meneruskan pelajaran mereka hingga ke menara gading. Subuh juga terpaksa bekerja bertungkus-lumus setiap kali hanya untuk membayar yuran demi untuk belajar di maktab rendah. Ini menunjukkan betapa gigih dan serius mereka dalam mencapai cita-cita mereka. Walaupun sering kali mereka dihukum oleh guru-guru mereka atas kesalahan yang tidak mereka lakukan, mereka masih berkelakuan baik di sekolah dan masih menghormati guru-guru mereka. Malah, mereka juga sanggup menolong guru mereka yang mereka kurang suka, Mr Rodrigues untuk menutup hubungan sulitnya dangan Cikgu Roziah agar mereka tidak akan mandapat malu. Ini jelas menunjukkan sifat mulia yang telah terdapat pada anak-anak yang miskin dan berasal daripada pulau ini.

Daripada novel ini juga, saya dapat mempelajari erti sebenar persahabatan. Persahabatan yang sebenar ialah teman-teman yang sanggup harungi segala suka dan duka bersama , setia pada diri masing-masing dan tidak mengkhianati diri teman-teman sendiri serta berpengang teguh dengan segala janji-janji yang telah terikat. Teman-teman yang tulus juga menasihati diri kita agar kita dapat menjadi seseorang yang lebih baik.

Menerusi novel ini, persahabatan antara empat sekawan ini iaitu Subuh, Senja, Bujang dan Salih amat tulus dan ikhlas. Sewaktu mereka dihukum rotan atas kesalahan tidak setia pada Maktab Rendah mereka, mereka mengharungi hukuman itu bersama. Walaupun Salih telah banyak kali diberi amaran oleh ibubapanya agar tidak bergaul dengan Subuh, Senja dan Bujang kerana mereka berasal daripada pulau dan miskin, Salih ingkar dengan amaran itu kerana dia sendiri tahu bahawa teman-temannya itu adalah teman-teman sejati yang mempunyai nilai-nilai murni yang harus dicontohi oleh orang lain walaupun mereka bertiga miskin dan berasal daripada pulau. Senja, Bujang dan Salih juga memegang teguh dengan janji Subuh supaya tidak memberitahu sesiapa pun siapa pasangan yang mereka lihat bermesraan sewaktu kejadain rompakkan itu berlaku. Walaupun mereka benci dengan Mr Rodrigues, mereka tidak sanggup ingkar pada janji yang telah mereka buat dengan Subuh. Persahabatan anatara Subuh dan Senja juga amat teguh dan sukar untuk dipisahkan. Subuh sering meluahkan perasaan dan mendapatkan nasihat daripada Senja apabila dia bertengkar dengan ibu tirinya di rumah manakala Senja pula mendapatkan nasihat daripada Senja dalam menjadi seorang umat Islam yang baik setelah memeluk agama itu. Semua ini dapat menunjukkan dengan jelas persahabatan yang tulus dan ikhlas daripada empat sekawan ini yang harus dicontoh orang lain.

Akhir sekali, saya mempelajari agar tidak memihak pada orang-orang yang sebangsa dan mempunyai kulit yang sama dangan kita. Kita yang hidup dalam masyarakat yang berbilang bangsa haruslah sentiasa bergaul dengan orang-orang daripada bangsa lain, bukan hanya dengan orang-orang sekaum kita sahaja. Tidak semestinya orang yang mempunyai bangsa yang sama dengan kita yang harus kita percayai dan bukan orang-orang daripada kaum lain kerana kepercayaan itu hanya dapat dinilai menerusi sifat orang itu sendiri bukan menerusi bangsa ataupun kulitnya. Tidak semestinya juga kita tidak boleh berkawan rapat dengan orang-orang yang bukan sama bangsa dengan kita dan juga menolong mereka sewaktu mereka di dalam kesusahan kerana pertolongan dan persahabatan itu adalah sesuatu yang harus dilakukan dengan ikhlas tanpa melihat pada bangsa seseorang itu.

Di dalam novel ini, walaupun Subuh dan Senja berlainan bangsa di mana Subuh berbangsa Cina dan Subuh pula berbangsa Melayu, ini tidak menghalang mereka daripada berkawan dengan mesra. Malah Senja juga terpengaruh dengan sifat-sifat seorang anak Melayu kerana telah bergaul dengan orang-orang berbangsa Melayu sejak dia kecil lagi sehingga dia tergerak hati untuk memeluk agama itu. Ayah Senja juga, Mr. Tan Peng San
telah memberi sedikit wang kepada ayah Subuh, Pak Mahmud untuk meringankan bil-bil hospital Subuh.Ini juga kerana Mr. Tan Peng San ingin membalas balik budi ayah Pak Mahmud yang membenarkan dia untuk membuka sebuah kedai sewaktu mereka tinggal di pulau dahulu membuatkan kehidupan dia lebih senang kini. Guru-guru di sekolah juga tidak kisah dengan siapa mereka bergaul dan berbincang mengenai isu semasa. Cikgu Saerah , Cikgu Hatta, Mr. Balasundram dan guru-guru yang lain sangat mesra di kerja dan mereka jarang sekali bertengkar walaupun mereka berlainan bangsa. Walaupun dahulu Mr Rodrigues dan Mrs. Teo Lam Tay sering memencilkan orang-orang yang tidak sebangsa dengan mereka dan tidak mahu mempercayai orang-orang sebegitu, mereka akhirnya salah setelah melihat berapa teguhnya Subuh dan kawan-kawannya berpegang pada janji mereka agar tidak membocorkan rahsia hubungan sulit Mr Rodrigues dengan Cikgu Roziah. Dengan kesemua contoh-contoh ini dapatlah kita mempelajari agar bersikap adil dengan semua bangsa.

Nabilah Bte Mohd Rashid (14)
3M1
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Pertama, masyarakat harus menerima hakikat bahawa setiap manusia itu tidak sempurna dan membuat kesilapan tidak kira kedudukan mereka sama ada seorang guru, ahli politik, peguam dan lain-lain. Di dalam novel ini, guru-guru banyak membuat kesilapan.

Antaranya ialah kejadian Cikgu Roziah, yang sudah berkahwin dengan Cikgu Hussin, dan Cikgu Rodriguez, yang sudah beristeri, melakukan perzinaan di dalam kereta tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Walaupun mereka sudah berkahwin, mereka tetap melakukan perkara yang terkutuk itu. Ini jelas menunjukkan bahawa guru-guru tidak lepas daripada melakukan kesilapan tidak kira besar atau kecil. Begitu juga dengan orang-orang lain yang berkedudukan lebih tinggi.

Selain daripada itu, dapat dilihat juga Mrs Teo sanggup mengggadaikan nilai kemanusiaan demi menjaga nama baik Martab Rendah Elite. Ini berbeza sekali dengan fungsi pendidikan yang sebernanya iaitu menyematkan nilai murni ke dalam diri murid-murid agar dapat menjadi orang yang berguna. Mrs Teo tidak melakukan sendiri perkara yang seharusnya Martab Rendah Elite sampaikan kepada muridnya. Malah, dia membiarkan nilai kemanusiaan dijajah status sekolah. Maka, sekali lagi ini menjelaskan bahawa setiap manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.

Kedua, Subuh, Senja dan Bujang dapat dijadikan iktibar kepada masyarakat kerana kemiskinan dan latar belakang mereka tidak menjejas cita-cita mereka iaitu untuk belajar sampai ke peringkat universiti. Malah, mereka hanya selangkah sahaja daripada mencapai matlamat tersebut.

Walaupun Senja, Subuh dan Bujang datang daripada kampung seking dan kehidupan mereka miskin, mereka berjaya masuk ke Institusi Raffles dan seterusnya ke Martab Rendah Elite yang merupakan martab yang baik. Ia jelas menunjukkan bahawa mereka dapat belajar dengan baik walaupun tidak mempunyai wang yang cukup.

Subuh pula terpaksa menghadapi dugaan yang lebih besar iaitu menuruti segala perintah ibu tirinya yang memang tidak berperi kemanusiaan. Di samping itu, dia juga terpaksa bekerja demi menampung persekolahannya memandangkan ayahnya tidak pernah memberinya wang. Ini jelas menunjukkan bahawa walaupun terpaksa menghadapi kesempitan wang dan juga masa, mereka tetap boleh belajar kerana otak mereka yang berfungsi dalam pembelanjaran. Bukan wang mereka. Mereka berjaya ke martab rendah yang baik sekali walaupun datang daripada pulau.

Ketiga, orang yang membuat kesilapan tidak akan terlepas daripada kesan akibatnya yang lebih besar dan rentetan masalah lain. Orang yang membuat satu perbuatan yang terlaknat tidak akan terdiam sahaja. Manusia-manusia lain akan terus mengawasi pergerakan mereka.

Cikgu Roziah dan Mr Rodriguez telah melakukan satu perkara yang dilaknat di dalam kereta. Subuh dan rakan-rakannya akhirnya mengetahu mengenai perbuatan mereka dan mereka sehinggakan Subuh terpaksa dirawat di hospital dan kemuannya meninggalkan dunia.

Walaupun hanya Cikgu Roziah dan Mr Rodriguez yang melakukan kegiatan mereka, ia akan menyebabkan satu masalah yang lebih besar. Di dalam novel ini, perbuatan mereka telah mengancam nama baik Martab Rendah Elite kerana Subuh dan rakannya akhirnya tahu akan perbuatan mereka, menyebabkan pengetua martab berasa gusar. Ia juga telah melibatkan nyawa Subuh.

Akhir sekali, ialah untuk tidak memberitahu akan aib orang. Di dalam novel ini, perbuatan Mr Rodriguez dan Cikgu Roziah tidak disampaikan kepada orang lain. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak memberitahu poilis akan aib guru mereka walaupun guru itu tidak rapat dengan diri saya.

Walaupun mereka telah disoal inspektor polis, mereka tetap seperti releks. Semuanya tidak memberitahu akan tempat yang harus kita tuju. Alasan mereka adalah untuk menjaga nama masyarat dan nama sekolah.

Ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menjatuhkan aib guru-guru mereka dan dapat dijadikan iktibar kepada remaja-remaja yang senang marah.


Muhammad Khairool Haque Bin Abdul Kadir
3M1
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Saturday, August 4, 2007

Sajak-sajak Anak Bumi Tercinta & Anak Laut

Sajak dalam Anak Bumi Tercinta

1. RUMAH BARU
Haron A. H.


Telah kita siapkan rumah baru
untuk anak-anak berteduh
kerana kita diamanah
mendewasakan mereka
menjadi warga bijaksana
menjelang tahun wawasan.

Telah kita siapkan rumah baru
di atas tiang muafakat
air, pasir dan simen
dari tangan pelbagai bangsa
negara yang tumbuh
atas bumi toleransi.

Telah kita siapkan rumah baru
berwajah kebangsaan
agar penghuni saling ramah
rajin memberi dan menerima
juadah kesejahteraan
sampai akhir zaman.



Wacana Hitam Putih, 1998
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.


2. BAHASA
Rahman Shaari


Mari kita berbahasa
sebaiknya.

Bahasa adalah pengatur
pucuk fikiran yang bertabur
bahasa adalah pelentur
ranting perasaan yang bersiur.

Dengan bahasa
terlihat fakta padu
terlihat sinar ilmu
terlihat cinta biru.

Dengan bahasa
pemimpin memaparkan arah
di pentas siasah,
dengan bahasa
orang beriman menikmati ibadah
khusyuk dan pasrah.

Mari kita berbahasa
sebaiknya.

Dengan bahasa
budi dipertinggi
mesra diperlebar
dengan bahasa
kita menjadi kita
bersama.

Jika tanpa bahasa
bagaimana akan kita setujui
perjanjian ini?

Mari kita berbahasa
sebaiknya.

Langit di Tangan, 1995.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

3 BILA BERJAUHAN
A. Wahab Ali


yang kurasakan
kau semua mesti di sisiku
kerana setiap yang kualami
kau semua mesti menikmati.

dalam kesepian di tengah ramai
orang yang kutemui tapi tak kukenal
suara kalian ada di telingaku
kenakalan dan ketegasan di rumah tangga
tidak melepaskan jarak kita
malah ingatan itu
menjadikan aku
seorang ayah dan suami
yang terlalu memelihara
erti diri.

di tengah bayang ibumu berdoa
dan kau semua menunggu
wujud aku dalam godaan keasyikan
membentuk diri
menjadi seorang ayah dan suami
tegak dan pejal.

Jendela, 1988.
Teks Publishing Sdn. Bhd.

http://myfreefilehosting.com/f/34db5ea952_0.02MB

4 Wanita Zaman Ini
Aladin Mohamad


Wanita zaman ini
tak berasa perlu bersuami
taraf kehidupan mereka kini sudah tinggi
mereka begitu mampu hidup berdikari.

Wanita zaman ini
lebih bahagia hidup sendiri
perkahwinan bagi mereka membatasi
pergerakan diri
dan segala aktiviti peribadi
bahkan memperjudi
nasib diri
di tengah kehidupan lelaki.

E-mel Antara Benua
Media Network.

http://myfreefilehosting.com/f/f53afaed16_0.01MB

5 KETIKA KAMI BERCERITA TENTANGNYA
Lim Swee Tin


Ketika kami bercerita tentangnya
bapa sedang tidur
aku cukup kenal
pada lelap matanya
tikar mengkuang lusuh itu
barangkali, tambah melenakan bapa.

Tadi
lama sekali bapa menemani kami
mengisi malam-malam seperti selalunya
duduk mengelilingi pelita minyak tanah
yang kecil itu
semacam pahit dan getir pengalamannya
begitu akrab pula
dengan kami semua.

Tidak pernah kami menyoal
mengapa demikian
laut sejarahnya
kerana
seperti juga di hutan kehidupan ini
kami sedia memaklumi
akan ketentuan
yang harus digenggam.

Asap pelita berkepul
sesekali meliuk digerak angin
ketika kami bercerita
tentang bapa
aku cukup faham
pada sebuah doa yang selalu disebutnya:

semoga ombak masa laluku
bukan gelombang masa depanmu.

Gurindam Alam, 1994
Masa Enterprise

http://myfreefilehosting.com/f/e4cd7fd623_0.04MB

6 Usia
Siti Zainon Ismail

Telah kususun letakmu
di sisian tenang
ruang kukecilkan lagi
dengan keinginan sederhana
kulepaskan kupu-kupu semalam
melalui jendela
diiringi segaris cahaya pagi
selamatlah datangmu.

Atas kecintaan diri
hidup didewasakan
menjadi kristal padu
memancarkan cahaya berpenjuru
seharusnya kita berhati-hati
memantulkan kembali
ke hala yang satu.

Tanpa keizinan-Mu
pagi tidak lagi berbau tanah
atau tiba-tiba
lorong kecilku
menjadi ungu.


Langit di Tangan, 1995
Dewan Bahasa dan Pustaka

http://myfreefilehosting.com/f/2c202152be_0.03MB

Sajak dalam Anak Laut

1 AKU MENJADI LEBIH BERANI



Kali ini
kau berbaju biru
dan bajuku ungu.
Sayang, hanya aku tahu
hatimu
tidak setulus hatiku
yang berbaju ungu.

Bila begini,
sebilah pisaumu aku tidak gentar
sepatah kata
bisa,
aku merasa.

Hati dan rasa mengajarku
aku menjadi lebih berani.



Latifah Haji Shebli
Puisi-puisi Kenyalang 1, 1984.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

http://myfreefilehosting.com/f/b32d5f1989_0.08MB

2 ANAK LAUT


Segar angin laut
mengembalikan rindunya pada kolek
bagai buih kecil terapung di air
menjaring sedikit rezeki
dan sisik ikan
kulit ketam
kepala sotong
dan
kaki udang yang bersimpati

Seperti kolek terdampar di pasir
menampakkan urat jalur-jalur tua
anak laut itu sudah dapat menerka
langkahnya hampir tiba
pada muara Pencipta.



Rahimidin Zahari
Kulepaskan Resah Sepi, 1988.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

http://myfreefilehosting.com/f/8d1667d4d9_0.02MB
3 Derita Pertama

Adam ialah bapa kita
yang tercampak dari seberang dunia
kerana mencari syurga
di celah buah khuldi.

Waktu terlantar di dunia baru
hari tengah malam
ia tidak mengerti apa yang terjadi
mulutnya bisu.

Ia melihat sekeliling
mulai merasa cemas akan kegelapan
segumpal awan hinggap ke kening
ia tidak tahu apakah itu.

Sepanjang malam ia tercengang
dari hatinya mengalir sungai duka
bagaimana akan kutempuh rimba kegelapan
tubuh seorang.

Sepanjang malam air matanya
membelah muka bulan.

Suhaimi Haji Muhamad
Lagu Kehidupan, 1990.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
http://myfreefilehosting.com/f/7e9a5c1ffb_0.04MB

4 Jalan-Jalan Raya Kotaku

Saban waktu sepanjang perjalanan
jalan-jalan raya kotaku
lewat senja begini
tika gerimis menabur benih
menerima kehadiran warga kota
lemas dalam kesabaran
lelah meresahkan
dengan luka parah di hati.

Ketidaksabaran membengkak
kesombongan merajai setiap ruang
semakin padat dengan emosi
kebosanan menggigit pangkal rasa.

Demikian etika di perjalanan
budi luhur warga kotaku
tidak lagi berlaku
yang hadir adalah keserakahan
memacu menghimpun kekuatan
menghakis sopan santun
seperti banjir kilat
melanda pinggir perjalanan
fitrah sang manusia
peradaban kota masa kini.

Jalan-jalan raya kotaku
adalah gelanggang kebuasan
perlumbaan kebiadaban
para pesakit
kemanusiaan semakin mandul
pada penghujung musim.

Zam Ismail
Kasut Hitler, 1996
Mingguan Malaysia, 4 Jun 1995

http://myfreefilehosting.com/f/b1f46b9713_0.03MB

5 MANUSIA DAN KESEJAHTERAAN

Kelalahan kita semakin parah tenatnya
berserta kekejaman mengatasi kedamaian
titik pertemuan menjadi tentangan
tak siapa mau beralah.

Saat ini siapa lagi sanggup bersemboyan
janjikan harapan semanis janji orang bercinta
setiap pembicaraan tanpa persatuan
kejujuran mati di hati.

Hari ini tak payah parau bertanya
ketuaan dunia akan tenggelam juga
dalam kebodohan manusia
Yang kian bermuka dua.

Demi kelak dewasanya anakku
kau bikinlah perhitungan sendiri
untuk menjengah neraka kecintaan manusia
mencucuri bahan api neraka.

Tambah mengimbau sorotan kitab MUHAMMAD!
tambah mengimbau sorotan kitab ESA!
hanya kesejahteraan membunga api.


Salmi Manja
Utusan Zaman, 1 Januari 1961.

http://myfreefilehosting.com/f/466ee35625_0.04MB

6 PEMBELI MASA SUDAH

Penyair ialah pengunjung pasar kisah
peraih pengalaman
dan pembeli masa sudah.
Kerana aku penyair kupenuhi hidupku
dengan kembara dan deria
yang kian memberat di pundakku.
Kulalui lorong-lorong hari sepiku
dari gelisah ke payah
dari sedih ke perih.

Di pasar yang dihingari kisah ini
aku dipanggil peraih cerewet
pemilih yang sukar membuat pilihan
pembeli yang keliru dengan tawaran.
Kerana aku pemilih ruwet
akur harus hati-hati;
pilihan menonjolkan mutu
dan mutu memantulkan peribadi.

Aku pembeli masalah orang
menyusunnya menjadi kata-kata
dan menjualnya kepada pemikir.
Aku juga kadang-kadang pembeli
masalah dan masa sudah sendiri.
Tidak seperti ikan dan sayuran,
masa sudahku lebih mahal
sesudah senja dan murah
di sebelah pagi.


T. Alias Taib
Utusan Zaman, 28 November 1993.

Friday, August 3, 2007

Atas Nama Cinta

Sudah bersedia kah anda...
Kita pasti dirisik..
Pertunangan sejak azali..
Di hujung hidup nanti..
Berlangsungnya perkahwinanmu dengan maut..
Hantarannya..sakit dan nazak..
Tamu bertandang menghadiahkan esak tangis..
Pengantin dimandikan..
Dipakaikan baju cantik putih..
Wangian gaharu dan cendana..
Keranda jadi pelaminan..
Pengantin bersanding sendirian..
Di arak keliling kampung..
Berkompangkan azan dan kalimah kudus..
Akad nikahnya bacaan talkin..
Berwalikan liang lahat..
Saksi pula nisan-nisan..
Siraman air mawar..
Keluarga terdekat menepung tawar..
Tiba masa pengantin..
Menunggu sendirian..
Malam pertama bersama KEKASIH..
Di kamar bertilamkan tanah..
Dan Dia menuntut janji..
Sucikah kita tatkala berpadu..
Pernahkah taubat sepanjang hayat..
Atau terkubur bersama dosa-dosa...
Dan Dia Kekasih itu..
Menetapkanmu ke syurga..
Atau melemparkan dirimu ke neraka..
Bagaimana? Terasa hendak menjadi 'pengantin' tersebut?
Marilah bersama muhasabah diri. Kita hanya insan, mudah terleka dek godaan syaitan...
Wallahualam