Thursday, October 14, 2010

TIGA MADU- Teater Kami Ltd




3 Madu- Satira atau Realisme?


Teater bertajuk “3 Madu” arahan Anwar Hadi Bin Ramli, seorang aktivis seni dan penggerak teater ini merupakan satu persembahan yang menarik berkisarkan 3 wanita, Rashidah, Rafina dan Rasina – ketiga-tiganya ialah isteri Rafi yang tinggal di bawah satu bumbung. Produksi ini berjaya menggarap perhatian saya dengan adegan-adegan lucu di selingan babak-babak serius di mana isu-isu seperti pemikiran wanita yang kian berubah diketengahkan. Syabas kepada Teater Kami Limited bagi menjayakan produksi tersebut, yang diadakan di Playden, yang berlangsung pada 17 April 2010, The Arts House, Old Parliament Building.
Watak Rashidah dalam “3 Madu” digambarkan sebagai seorang yang dominan, sering menentukan jalan hidupnya, cara kehidupan dirinya, dan diri orang lain. Watak Rashidah dikembangkan secara efektif oleh pengarah dan penulis skrip Anwar Hadi Ramli melalui perlakuannya yang tegas dan beret (demanding). Rashidahlah dalang yang membawa kepada plot dan konflik cerita. Watak pipih ini tidak banyak menunjukkan perubahan sepanjang cerita “3 Madu” meskipun dia juga merupakan watak penggerak. Pada awal cerita, Rashidah, 42 tahun, mendapati dirinya kurang sempurna kerana usianya tidak mengizinkannya melahirkan cahaya mata buat suaminya. Sebagai CEO syarikatnya sendiri, wanita yang amat mementingkan kerjayanya ini menjalani kehidupan yang mewah bersama Rafi, suaminya yang 15 tahun lebih muda daripadanya. Oleh kerana rasa kurang sempurna Rashidah, dia meminta sepupunya Rafina, bernikah dengan Rafi.
Rafina, muda, cantik dan graduan baru universiti dari Malaysia telah ditawarkan bekerja di syarikat Rashidah. Dalam pada itu, Rashidah mendesak dan berharap Rafina agar menikahi Rafi. Rafina menurut kehendak sepupu kesayangannya itu meskipun hatinya berat dan keliru pada waktu itu. Watak Rafina yang pada mulanya tidak begitu ketara menjadi lebih signifikan menjelang pertengahan dan akhir cerita. Watak bundar ini menunjukkan beberapa perubahan sikap sepanjang teater ini melalui tingkahnya yang pada mulanya menurut kata-kata Rashidah, dan kemudiannya mula menyangkal perbuatan sepupu dan madunya itu. Rafina didapati mandul setelah gagal mengandung setelah 8 tahun bernikah dengan Rafi. Lantaran itu, Rashidah meminta agar Rafi menikah dengan seorang lagi wanita, kini pilihan Rafi sendiri.
Rasina, madu ketiga dalam cerita ini merupakan wanita pilihan Rafi sendiri. Watak Rasina boleh dikatakan statik kerana tidak jelas perubahan wataknya dalam cerita ini. Rasina pada awalnya tidak serasi tinggal sebumbung bersama Rashidah dan Rafina. Namun lama-kelamaan, mereka berbaik dan melakukan tugas masing-masing menguruskan rumah dan rumahtangga mereka. Tidak lama selepas pernikahannya dengan Rafi, Rasina mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Kelahiran Nur Naim disusuli dengan kematian Rafi yang dilanggar ambulans sewaktu ingin mencari tempat merokok di perkarangan hospital pada hari yang sama. Rasina merupakan watak termuda dan paling ceria di dalam cerita “3 Madu”. Watak ini tidak pernah membantah kemahuan Rashidah walaupun dia sendiri tidak senang dengannya.
Rumusannya, produksi Teater Kami Limited ini telah berjaya menunjukkan perkembangan watak-wataknya dengan berkesan - ketiga-tiganya mempunyai perwatakan yang jauh berbeza. Saya kagum dengan jalan cerita teater ini dan unsur-unsur humor yang diselitkan amat efektif dalam menangkap perhatian saya sepanjang 90 minit cerita ini. Meskipun cerita ini hanya rekaan semata, watak-watak dan perwatakan yang ditonjolkan di dalam cerita berkemungkinan besar wujud di dalam masyarakat kita kini secara realisme yang semakin maju di dalam arus pemodenan, atau ianya sekadar satira untuk menyindir kaum wanita yang semakin beret dalam mengatur hidupnya sendiri dek ”human rights” dan ”freedom of speech” bagi kaum Hawa. Sekali lagi, syabas Teater Kami dan syabas Encik Anwar Hadi Bin Ramli!

Siti Umairah Bte Abdul Ghani
Pelajar H2- Kesusasteraan Melayu
Maktab Rendah Nanyang (2010)
Bekas Pelajar BPGHS Program EMAS 2009.