Wednesday, August 20, 2008

Bengkel Penulisan Kreatif (Puisi Tradisional & Moden) Oleh Cg Rasiah Halil & Cg Noor Hasnah Adam

Khas buat pelajar-pelajar Program EMAS/Bahasa Melayu Lanjutan BPGHS Centre pada 16 Ogos 2008.





Model ASEAN Summit 2008 di Institusi Hwa Chong




Pada 11 dan 12 haribulan Ogos 2008, Institusi Hwa Chong telah mengadakan Model ASEAN summit. Acara itu juga merupakan kali yang keempat bagi Institusi Hwa Chong menjadi tuan rumah bagi acara ini. Sekolah kami, Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang, merupakan satu daripada 5 lagi sekolah ternama di Singapura; Sekolah Tinggi Dunman, Sekolah Perempuan Methodist, Sekolah Tinggi Perempuan Nanyang, Institusi Hwa Chong dan juga Sekolah Internasional Hwa Chong.
Sememangnya, sekolah-sekolah lain yang turut serta dalam acara ini hebat-hebat belaka. Saya sendiri cukup gembira apabila diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam suatu acara gah seperti ini, yang tidak mungkin dapat saya hadiri lagi. Apatah lagi apabila kesemua rakan-rakan yang bakal menyertai acara ini merupakan para pelajar melayu EMAS sendiri. Memang tidak dapat dinafikan, Saya cukup bangga kerana berpeluang mewakili sekolah saya dalam acara sebegini. Namun, di sebalik perasaan bahagia dan ghairah itu, tersirat juga perasaan takut dan gementar. Walau bagaimanapun, saya yakin bahawa pengalaman ini bakal menjadi satu pengajaran yang cukup bermanfaat dan berfaedah bagi saya, dan juga rakan-rakan lain.
Setiap sekolah akan mewakili salah satu daripada sepuluh negeri yang menganggotai ASEAN, iaitu Brunei Darrusalam, Philippines, Singapura, Thailand, Laos, Malaysia, Indonesia, Cambodia, Vietnam dan juga Myanmar. Beberapa minggu sebelum acara itu bermula, kami semua diberikan bahan kajian bagi negeri yang bakal kami wakili. Sekolah kami ditugaskan mewakili negeri Brunei Darrusalam, dan justeru selepas itu, kami semua tekun membuat kajian ehwal semasa, kemasyarakatan, isu global serta persiapan bagi beberapa isu penting yang akan diketengahkan di persidangan kelak.
Setibanya di Institusi Hwa Chong pada hari pertama, hati kami semua berdebar-debar. Setelah menyelesaikan beberapa perkara-perkara pentadbiran, kami masing-masing dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk menjalankan debat-debat tentang isu-isu yang telahpun diberi.
Secara jujur, saya cukup kagum dengan kebolehan pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah lain. Mereka semua dapat berfikir dengan secara matang dan logik serta kebolehan memikir secara spontan. Mereka juga mempunyai kosa kata yang cukup baik. Satu lagi sifat mereka yang cukup saya kagumi ialah keberanian mereka bagi memberikan pendapat sendiri tentang isu yang sedang diperdebatkan.
Selain daripada kawan-kawan baru yang dapat saya temui di acara tersebut, banyak perkara lain yang dapat saya raih dari pengalaman emas ini. Satu contoh baik ialah saya kini mempunyai ilmu yang lebih mendalam tentang isu-isu semasa yang, secara tidak langsung, akan mempunyai kesan terhadap diri saya sendiri. Saya juga mempelajari bahawa kita haruslah sentiasa kerap berfikir akan kesan-kesan kelakuan kita.
Secara keseluruhan, saya cukup berbesar hati dapat mengambil bahagian dalam acara ini. Saya tentunya akan menggalakkan kepada sesiapa yang diberikan peluang ini agar mengambil bahagian dengan hati serta minda yang tebuka, agar peluang emas ini tidak akan disia-siakan begitu sahaja.

Fadhilah Kamsani 3L1
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang