Tuesday, October 14, 2008


Pendahuluan

Sukatan pelajaran kesusasteraan Melayu dilakarkan berdasarkan. matlamat utamanya iaitu untuk menggalakkan pelajar yang berminat untuk meneruskan pengajian dalam bahasa Melayu dan kesusasteraan serta kebudayaan Melayu. Selaras dengan matlamat ini, LEP iaitu Program Elektif Bahasa, telah diperkenalkan di sekolah menengah dan maktab rendah pada tahun 2001. Pelajar dari sekolah-sekolah menengah yang terpilih dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam bahasa Melayu diberikan peluang mengambil mata pelajaran kesusasteraan pada peringkat ‘O’ dan ‘A’. Pengajian sastera ini bermula pada peringkat menengah tiga.

Pentingnya Mempelajari Sastera

Pembelajaran sastera dalam peringkat ini bukan sahaja penting dalam perkembangan aspek komunikasi dan kemahiran berfikir tetapi harus juga meningkatkan kesedaran mereka dalam aspek kebudayaannya. Adalah penting untuk memberi murid peluang untuk menikmati dan menghayati pembelajaran sastera. Kaedah penilaian formatif memberi murid kesempatan untuk melihat perkembangan mereka disamping melihat potensi yang ada pada diri mereka.

Murid yang mengambil pelajaran sastera harus diberi kesempatan untuk mengembangkan potensi mereka untuk

Menikmati bahan bacaan sastera dan menghayati serta mengapresiasinya.


Menyelusuri aspek-aspek kemanusiaan lantas meningkatkan kesedaran mereka tentang diri mereka sendiri dan diri orang-orang di sekeliling.


Membaca, memahami dan memberi maklum balas kepada berbagai teks sastera bagi mengapresiasi teknik penulisan penulis dan mengembangkan kemahiran ini untuk tujuan pembelajaran sastera.


Membaca, membina dan menyampaikan makna dengan jelas dan dapat difahami dalam tulisan dan juga lisan.

Pengalaman Pembelajaran Sastera di Dalam Bilik Darjah

Respon kepada sastera

- interpretasi yang tepat mengenai teks tidak harus diberatkan

- guru harus fokus dalam membantu murid berfikir dan memberi respon mereka sendiri


- mutu dan isu yang munasabah sesuatu pandangan itu dan kebernasan idea yang disampaikan harus diberi perhatian yang lebih berat jika dibandingkan dengan aspek tatabahasanya


- selain daripada hasil tulisan yang biasa dijalankan, murid harus digalakkan melahirkan pendapat mereka dalam bentuk yang lain seperti lukisan, pementasan drama, musik, pergerakan dan penulisan kreatif.

Perkembangan kemahiran apresiasi sastera

- kemahiran yang melibatkan pembacaan, penafsiran
dan apresiasi sastera
- pengetahuan teknikal seperti unsur dalam sastera harus diajar dengan berkesan untuk memperkayakan pengalaman pembacaan murid dan tidak diajar secara berasingan sehingga murid tidak dapat melihat keindahannya dalam sastera

Horizon pengalaman sastera

- memberi peluang murid meneroka dan mempelajari
kebudayaan masyarakat lain
- mengenalpasti pengalaman manusia dan
permasalahannya
- mendedahkan murid kepada pelbagi genre sastera
- sastera tidak semestinya terikat dengan teks tetapi harus memberi peluang kepada murid untuk menonton dan mendengar kepada teks yang telah dipentaskan

Melalui kursus kesusasteraan Melayu ini murid-murid dapat:

Menghargai dan menghayati keindahan bahasa yang terdapat di dalam teks sastera dan menjadikan ia contoh bagi meningkatkat tahap bahasa, kognitif afektif dan estetik.

Memahami dan menghayati nilai-nilai murni dari segi moral, kemanusiaan dan sejagat, keagamaan, kemasyarakatan, kebudayaan dan kenegaraan untuk membina siasah yang seimbang.

Memahami teks sastera yang tergolong dalam berbagai genre dan menganalisisnya berdasarkan aspek-aspek kesusasteraan.

Menanam minat suka membaca, interpretasi dan memberikan pandangan serta penilaian secara analitis, kritis dan kreatif terhadap bahan sastera.

Menjawab soalan-soalan tentang teks sastera dengan tersusun dan meyakinkan bagi tujuan kajian ujian dan peperiksaan.

Menghargai sumbangan penulis dan kedudukannya dalam sastera umumnya.

Memupuk minat dan bakat dalam bidang kesusasteraan.
Ujian Tidak Formal

Dengan penekanan kepada visi ‘Thinking Schools, Learning Nation’, guru yang mengajar pelbagai mata pelajaran mendapati bahawa adalah perlu membuat rombakan dan semakan semula rancangan pelajaran dan kaedah mengajar supaya tidak ketinggalan dalam dunia ledakan informasi ini. Penekanan tentang pembelajaran sepanjang hayat yang mampu membuat murid berdikari, berinovasi, produktif dan manusia yang syumul adalah penting dalam mempersiapkan diri mereka dalam menempuh cabaran dalam abad ke 21 ini.

Terdapat beberapa jenis pengujian dalam pendidikan seperti pengujian formatif dan dianostik yang tercakup dalam penilaian rujukan kriteria (Criterion-referenced) dan pengujian penempatan (placement) serta pengujian sumatif yang tercakup dalam penilaian rujukan norma (norm-referenced). Apabila guru menguji dan menilai pendidikan sastera di kalangan pelajar dengan memberi latihan-latihan dan ujian bulanan untuk melihat perkembangan individu pelajar dari masa ke masa, maka pengujian dan penilaian demikian bersifat formatif. Cara demikian jika diperluas pula dengan mengesan daerah kelemahan dan kesukaran pelajar, maka pengujian dan penilaian tersebut bersifat dianostik.
Dalam bilik darjah, adalah lebih manfaat jika guru sastera mentadbir pengujian dan penilaian bersifat formatif, kerana pengujian dan penilaian formatif dapat melihat perkembangan murid. Baik apa bentuk ujian yang dijalankan serta dengan meletakkan matlamat dan sasaran yang dikehendaki; satu hal yang tidak dapat dinafikan bahawa kefahaman, penghayatan seseorang pelajar menerima pelajaran adalah dipengaruhi oleh perkaedahan yang digunakan oleh guru. Dalam hal ini, kaedah-kaedah struktural, berfokus dan mengalami dan menghayati dapat memainkan peranannya.

Ujian tidak formal yang dijalankan di sekolah adalah untuk melengkapkan ujian sumatif yang ada. Di bawah ini adalah aspek positif yang boleh didapati daripada ujian formatif.

Kerja murid yang selalunya baik tetapi mendapati sukar untuk mencapai yang cemerlang di bawah tekanan peperiksaan. Mereka diberi peluang untuk menyerlah dalam suasana yang tidak memberi mereka sebarang tekanan.

Murid yang secara akademiknya lemah dan menghadapi masalah mencapai yang terbaik dalam menduduki peperiksaan secara tradisional.

Ujian formatif memberi laluan yang lebih fleksible dalam memberikan tugasan kepada murid.

Ujian formatif memberi guru peluang melihat perkembangan murid dan memantau kerja mereka dengan lebih berkesan dan dekat lagi.

Dalam jangka masa panjang, ujian formatif memberi penilaian yang lebih menyeluruh mengenai kebolehan murid.

Penilaian

Penilaian mempunyai peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hasil ujian diperlukan dalam merancang proses pengajaran dan pembelajaran. Beberapa faktor penting digunakan dalam usaha mengubah ujian pencapaian dan keupayaan sastera.Sebarang ujian haruslah menguji:
penikmatan
penghayatan
pengalaman.
Bentuk ujian tidak haruslah tertumpu kepada yang mudah dimarkah, dan objektif dari segi pemarkahan, tetapi yang boleh menguji daya kreatif pelajar juga sebagai hasil sampingan penikmatan dan penghayatan mereka terhadap sastera. Ia juga tidaklah seharusnya hanya merupakan ujian dan penilaian pencapaian, tetapi harus merupakan ujian dan penilaian keupayaan, jika kita ingin menanam minat membaca dan daya cita rasa positif terhadap sastera di kalangan pelajar sebarang ujian pencapaian atau keupayaan dalam bidang sastera wajar berlandaskan bukan sahaja kepada matlamat atau objektif mengikut kurikulum tetapi berlandaskan juga pada objektif tersirat dan objektif jangka panjang (berlanjutan) pembelajaran dan pengajaran sastera. Kefahaman pelajar tentang bahan sastera yang dipelajari boleh dimanfaatkan untuk pengukuhan serta juga untuk pemulihan. Ini bergantung kepada objektif ujian tersebut dijalankan oleh guru.

Sebagaimana yang telah diketahui bahawa objektif pendidikan terbahagi kepada tiga bidang penting iaitu:

kognitif
afektif
psikomotor



Di bawah domain kognitif terdapat enam peringkat kemahiran yang perlu ditanamkan dalam diri pelajar iaitu:

pengetahuan
pemahaman
aplikasi
analisis
sintesis
penilaian

Di bawah domain afektif pula terdapat lima peringkat iaitu:
penerimaan
sambutan
penghargaan
pembentukan
penyebatian

Perkara-perkara ini penting diambil kira terutama ketika menyediakan atau membina soalan bagi menguji untuk melihat hasil daripada pengajaran guru serta pembelajaran pelajar. Pengajaran dan pembelajaran Kesusasteraan Melayu juga tidak terkecuali dalam hal ini. Malah kesusasteraan Melayu dapat dijadikan prinsip dalam konsep pengujian dan penilaian sastera yang akan dilaksanakan itu..

Bentuk ujian tidak haruslah tertumpu kepada yang mudah dimarkah, dan objektif dari segi pemarkahan, tetapi yang boleh menguji daya kreatif pelajar juga sebagai hasil sampingan penikmatan dan penghayatan mereka terhadap sastera. Ujian sastera tidaklah seharusnya hanya merupakan ujian dan penilaian pencapaian, tetapi harus merupakan ujian dan penilaian keupayaan, jika kita ingin menanam minat membaca dan daya cita rasa positif terhadap sastera di kalangan pelajar.

Kaedah Penilaian

Penekanan dalam ujian informal ini adalah dari elemen formatifnya dan bukan sumatif. Penilaian formatif haruslah berterusan dalam jangkamasa yang ditentukan dan ia harus membolehkan murid melihat perkembangan dan pencapaian mereka.

Lisan

Sekiranya sesuatu pelajaran itu dirancang dengan baik berserta dengan kriteria penilaian yang dijelaskan kepada murid, maka respon murid secara lisan juga boleh dijadikan ujian yang sahih dalam melihat perkembangan murid. Antara penilaian formatif yang boleh dilakukan ialah melalui lisan seperti persembahan puisi, lakonan drama dalam babak yang tertentu dan analisis sajak. Tugasan individu pula harus memberi peluang bagi murid untuk memberi respon yang pelbagai berdasarkan teks seperti imaginasi dan kreativiti. Tumpuan pada aspek pemikiran yang analitikal dan kritikal juga harus digalakkan. Kemahiran untuk membina keyakinan murid dalam kemampuan mereka untuk menganalisa kandungan teks, bahasa dan stail penulisan adalah salah satu aspek yang penting dan harus diberi penekanan.

Tugasan Individu

Oleh kerana murid harus diberi peluang untuk melakukan pelbagai aktiviti, tugasan menulis secara individu adalah penting untuk melihat perkembangan murid. Namun bentuk tugasan yang diberi dalam bentuk tulisan ini tidak seharusnya ‘diciplak’ langsung dari kertas peperiksaan peringkat ‘O’. Murid harus diberi peluang untuk memberi respon mereka daripada pelbagai sudut seperti menggunakan daya imaginasi, kreativiti, analitikal mahupun kritikal mereka. Antara tugasan dalam bentuk penulisan yang boleh mereka lakukan ialah menulis laporan suratkhabar, menulis diari atau jurnal dan menulis komen tentang puisi.

Portfolio Murid

Portfolio adalah kerja murid yang telah dikumpulkan dalam jangka masa yang tertentu dan ia mempunyai bukti pencapaian murid dalam pelbagai bidang pembelajaran dan juga sebagai refleksi tentang apa yang telah mereka pelajari. Portfolio amat berfaedah dalam melihat ketekalan dan kesinambungan usaha kerja murid dalam jangka masa yang panjang. Murid juga dapat melihat kepentingan semua kerja yang diusahakan dan bukan beberapa kerja yang terpilih sahaja. Portfolio juga memberi peluang bagi murid, waris dan guru untuk memantau perkembangan dan pencapaian murid dalam pelbagai aktiviti lantas kebolehan murid yang lebih menyeluruh dapat dilihat. Dengan portfolio, murid juga dapat memainkan peranan yang aktif dalam pembelajaran dan penilaian mereka.

Objektif penilaian


Menunjukkan pengetahuan tentang teks sastera
Menunjuk pemahaman tentang teks.
Menghargai dan mengenalpasti gaya penulisan yang berkesan.
Memberi respon peribadi yang berasas terhadap bahan.
Memberi respon yang jelas dan koheren dengan menggunakan bukti-bukti tekstual yang relevan.

Objektif penilaian ini saling berkait dan tidak diuji secara sendiri