I'd like to share my Snapfish photos with you. Once you have checked out my photos you can order prints and upload your own photos to share.
Click here to view photos
Keluh kesah rintihan kasih masih dicari melata hati mati beku tumbuh masih langkau mencari...
Teater bertajuk “3 Madu” arahan Anwar Hadi Bin Ramli, seorang aktivis seni dan penggerak teater ini merupakan satu persembahan yang menarik berkisarkan 3 wanita, Rashidah, Rafina dan Rasina – ketiga-tiganya ialah isteri Rafi yang tinggal di bawah satu bumbung. Produksi ini berjaya menggarap perhatian saya dengan adegan-adegan lucu di selingan babak-babak serius di mana isu-isu seperti pemikiran wanita yang kian berubah diketengahkan. Syabas kepada Teater Kami Limited bagi menjayakan produksi tersebut, yang diadakan di Playden, yang berlangsung pada 17 April 2010, The Arts House, Old Parliament Building.
Watak Rashidah dalam “3 Madu” digambarkan sebagai seorang yang dominan, sering menentukan jalan hidupnya, cara kehidupan dirinya, dan diri orang lain. Watak Rashidah dikembangkan secara efektif oleh pengarah dan penulis skrip Anwar Hadi Ramli melalui perlakuannya yang tegas dan beret (demanding). Rashidahlah dalang yang membawa kepada plot dan konflik cerita. Watak pipih ini tidak banyak menunjukkan perubahan sepanjang cerita “3 Madu” meskipun dia juga merupakan watak penggerak. Pada awal cerita, Rashidah, 42 tahun, mendapati dirinya kurang sempurna kerana usianya tidak mengizinkannya melahirkan cahaya mata buat suaminya. Sebagai CEO syarikatnya sendiri, wanita yang amat mementingkan kerjayanya ini menjalani kehidupan yang mewah bersama Rafi, suaminya yang 15 tahun lebih muda daripadanya. Oleh kerana rasa kurang sempurna Rashidah, dia meminta sepupunya Rafina, bernikah dengan Rafi.
Rafina, muda, cantik dan graduan baru universiti dari Malaysia telah ditawarkan bekerja di syarikat Rashidah. Dalam pada itu, Rashidah mendesak dan berharap Rafina agar menikahi Rafi. Rafina menurut kehendak sepupu kesayangannya itu meskipun hatinya berat dan keliru pada waktu itu. Watak Rafina yang pada mulanya tidak begitu ketara menjadi lebih signifikan menjelang pertengahan dan akhir cerita. Watak bundar ini menunjukkan beberapa perubahan sikap sepanjang teater ini melalui tingkahnya yang pada mulanya menurut kata-kata Rashidah, dan kemudiannya mula menyangkal perbuatan sepupu dan madunya itu. Rafina didapati mandul setelah gagal mengandung setelah 8 tahun bernikah dengan Rafi. Lantaran itu, Rashidah meminta agar Rafi menikah dengan seorang lagi wanita, kini pilihan Rafi sendiri.
Rasina, madu ketiga dalam cerita ini merupakan wanita pilihan Rafi sendiri. Watak Rasina boleh dikatakan statik kerana tidak jelas perubahan wataknya dalam cerita ini. Rasina pada awalnya tidak serasi tinggal sebumbung bersama Rashidah dan Rafina. Namun lama-kelamaan, mereka berbaik dan melakukan tugas masing-masing menguruskan rumah dan rumahtangga mereka. Tidak lama selepas pernikahannya dengan Rafi, Rasina mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Kelahiran Nur Naim disusuli dengan kematian Rafi yang dilanggar ambulans sewaktu ingin mencari tempat merokok di perkarangan hospital pada hari yang sama. Rasina merupakan watak termuda dan paling ceria di dalam cerita “3 Madu”. Watak ini tidak pernah membantah kemahuan Rashidah walaupun dia sendiri tidak senang dengannya.
Rumusannya, produksi Teater Kami Limited ini telah berjaya menunjukkan perkembangan watak-wataknya dengan berkesan - ketiga-tiganya mempunyai perwatakan yang jauh berbeza. Saya kagum dengan jalan cerita teater ini dan unsur-unsur humor yang diselitkan amat efektif dalam menangkap perhatian saya sepanjang 90 minit cerita ini. Meskipun cerita ini hanya rekaan semata, watak-watak dan perwatakan yang ditonjolkan di dalam cerita berkemungkinan besar wujud di dalam masyarakat kita kini secara realisme yang semakin maju di dalam arus pemodenan, atau ianya sekadar satira untuk menyindir kaum wanita yang semakin beret dalam mengatur hidupnya sendiri dek ”human rights” dan ”freedom of speech” bagi kaum Hawa. Sekali lagi, syabas Teater Kami dan syabas Encik Anwar Hadi Bin Ramli!
Siti Umairah Bte Abdul Ghani
Pelajar H2- Kesusasteraan Melayu
Maktab Rendah Nanyang (2010)
Bekas Pelajar BPGHS Program EMAS 2009.
Lautan biru yang teramat indah,
Pokok kelapa setinggi bangunan;
Di Bali terdapat banyak sawah,
Mencucuk padi, beras dihasilkan.
Bali wujud di Indonesia,
Dikunjungi pelancong dari merata dunia;
Keunikan Bali sangat berbeza,
Mempertahankan bangsa meneguhkan agama.
Oleh: ‘Izzati Safwanah (3M2) dan Nurul Izzah (3M2) BPGHS
”Dekolonisasi Rohani” dan usaha mencari Keperibadian Melayu.
(Analisis ringkas menyanggah pendapat tentang ”Hari Raya: Orang Melayu Keliru?”)
- oleh Pelajar-pelajar Kesusasteraan Melayu Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang (BPGHS) Menengah 4, Kelas Kesusasteraan bimbingan Cikgu Sazali Sahri.
Sebagai pelajar-pelajar Kesusasteraan Melayu peringkat O, Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang (BPGHS), kami sering dan selalu teruja dengan pandangan dan respons Cikgu Sazali Sahri, Ketua Subjek Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu tentang genre Melayu Klasik/tradisional mahupun genre novel dan sajak. Polemik akademik melalui pembelajaran sastera di dalam dan luar kelas selalu membuat kami ghairah dan selalu memikirkan persoalan tajam yang Cikgu Sazali kemukakan. Kami terdorong untuk mencari, menghurai dan mengupas banyak persoalan itu melalui kajian peribadi dan kerja kumpulan kerana Cikgu sering ajukan pandangan bangsa, budaya, agama dan nilai universal untuk kami fikirkan dan bahaskan.
Kami dididik dan dikesani oleh pandangan (juga melalui pengajaran Cikgu Sazali), Dr V.I. Braginsky yang menulis buku ”Erti Keindahan dan Keindahan erti dalam Kesusasteraan Melayu Klasik” bahawa apa yang dicari di dalam kesusasteraan Melayu tidak lain dan tidak bukan adalah- hati nurani (ilmu Allah)
Semua Kesusasteraan Melayu ada banyak kaitan dan ikatan baik dari segi lakonan, budaya Melayu, perbualan dan peradaban, semuanya mementingkan ketinggian peribadi dan personaliti peribadi dan meningkatkan pendidikan melalui zamannya. Zaman klasik mementingkan kesusasteraan penuh emosi dan alegori, maka timbullah genre puisi seperti gurindam, seloka, masnawi, pantun, syair kerana tiada bidang lain dalam kebudayaan tradisional yang dapat menandingi kesusasteraan klasik dalam mencerminkan segala aspek kehidupan rakyat Melayu sampai ke akarnya yang tersembunyi.
Apa yang kami pelajari, melalui pelajaran kesusasteraan Melayu bahawa segala imejan, alegori, emosi, komentari, simbol berada di tahap paling luar di ’bulatan hidup’ (most outer core).Di dalamnya, ada ’bulatan hidup’ (inner core), yang demikian itu adalah akal budinya- manifestasi dari peribadi dan konstruksi ’Kemelayuan’ yang menjadi benang penghubung manusia dari abad ke abad, yang mengaitkan generasi suatu bangsa yang datang menggantikan suatu generasi yang ada. Manakala yang ditengah-tengah dan yang paling dalam ’bulatan hidup’(innermost core) itu adalah hati nurani- tanda-tanda rohani dan ’Ilmu Allah’ iaitu kanon agama (Religious Canon). Kanon agama ini merupakan akar budaya Melayu yang dapat dilihat daripada ’bulatan hidup’
Pendek kata- Kesusasteraan Melayu yang kami pelajari bukan sekadar genre puisi dan prosa tradisional dan moden dari buku antologi ’Anak Bumi Tercinta’, ’Anak Laut’ dan Novel ’Subuh Hilang Senja’ karya Suratman Markasan, malah kami didedahkan dengan isu keSingapuraan dan isu masyarakat dunia. Sebabnya, kesusasteraan Melayu itu terus hidup kerana ianya berdialog tentang manusia dengan mematuhi ’hukum-hukum keindahan’.
Keindahan bahasa dan bangsa serta adat resam masyarakat nusantara dan Melayu di Singapura, Malaysia, Brunei dan Indonesia banyak kesamaan dan keseragamannya. Oleh itu, agak ’melatah’ kami dibuatnya apabila ada artikel yang sangat-sangat menyentuh hati kami tentang adat resam, budaya dan pemahaman kami tentang kehidupan masyarakat Melayu yang dikatakan ’keliru’ kerana dikatakan ada beberapa adat dan budaya Melayu itu tidak mengikut adat dan cara keterbiasaan hidup orang bangsa Arab dan agama Islam. Cikgu Sazali mengarahkan kami agar jangan ’melatah’ apabila membuat sebarang komen, lantas menyuruh kami membuat kajian ini....
Isu dekolonisasi rohani dan usaha mencari keperibadian Melayu tercabar dan dicabar khususnya di tengah-tengah arus dunia moden dengan horizonnya yang terbentang luas. Pada pendapat dan kajian kami- keperibadian Melayu terdiri dari dua unsur: idea nasionalisme dan idea Islam. Sebab itulah dahulunya pernah timbul rangkai kata ”masuk Melayu” secara luaran mencerminkan aspek nasionalisme bangsa, yang bermakna, ’masuk Islam’ secara implisitnya menunjukkan aspek orang Islam.
Penulis yang ’mengkritik’ dan ’menegur’ bangsa Melayu dengan adat resam yang ‘keliru’ kerana tidak memakai jubah pada pagi raya dan memohon ampun dan maaf di pagi raya serta menangis tatakala ’melagukan’ takbir aidilfitri sewajarnyalah menerima banyak ’tentangan’, teguran dan komen dari segenap pelusuk masyarakat Melayu dari seorang ulamak, Ustaz Pasuni Maulan (BH:1/10/2009), artis Melayu mapan yang menetap di London- Encik Art Fazil (BH:Spektra 4/10/2009) dan khalayak pembaca (BH:Forum 30/9/2009 dan 3/10/2009).
Yang demikian sememangnya dari awal kupasan kami bahawa kehidupan dan keterbiasaan kehidupan masyarakat Melayu yang mudah menerima ilmu Allah iaitu agama Islam adalah sebab utama mengapa cara hidup Melayu yang telah diwarisi semenjak zaman Melayu tradisional/klasik asalkan tidak bertentangan dengan kitabullah amatlah disanjung tinggi. Demikian kata ahli bijak pandai- ”adat menjunjung syarak, syarak menjunjung kitabullah” Lihatlah bagaimana Wali Songo (wali sembilan) yang menyebarkan Islam di pulau Jawa (yang dahulunya beragama Hindu dan Hindu-Buddha) yang memeluk agama Islam lebih lewat dari orang Melayu di Melaka dan Pasai dididik dengan alat muzik Jawa kuno –Gamelan- yang berasalkan alat muzik istana Hindu yang digunakan untuk bersyair beralaskan bahasa Jawa Kromo untuk menyebarkan syiar Islam. Hingga kini, BPGHS masih ada dan mengekalkan adat budaya alat muzik Gamelan yang menjadi ’kemestian’ dan ’wajib’ dipelajari oleh semua pelajar EMAS (Elective Malay for Secondary Schools) dan pelajar-pelajar kesusasteraan BPGHS kerana Cikgu Sazali menjunjung adat Melayu dan berpaksikan nilai Islam. Kumpulan Gamelan kami juga banyak mempersembahkan Gamelan BPGHS di pelbagai acara masyarakat.
Janganlah dilihat pakaian baju Melayu/baju Kurung, takbir aidilfitri, ziarah kubur, bermaafan di pagi raya, kunjung mengunjung, berpakaian jubah/pakaian adat, memberi duit zakat sebagai ’memelayukan Islam’, pandanglah yang demikian itu sebagai warna-warni Islam yang tidak akan berubah dek zaman kerana Allah telah menjanjikan bahawa Islam itu agama untuk semua manusia dan untuk semua zaman. Manusia Melayu sedang dan akan mengalamai rekonstruksi budaya (cultural reconstruction). Perubahan arus zaman dan teknologi mengizinkan masyarakat Melayu berubah melalui perlakuan dan cara memanifestasikan budaya mereka, namun mereka tetap dengan ciri dan nilai Islamnya yang unik dan keunikan ini juga ada pada setiap budaya dan masyarakat Islam bangsa lain mahupun di Uzbekistan, Luxembourg , Iceland, Surinam, Chile, Sierra Leone, Pulau Kokos-Keeling dan Pulau Christmas (di Australia).
Kajian dan pembacaan yang jitu haruslah dibuat apabila kita
Kajian kami selanjutnya ialah dari buku Profesor Asmah Haji Omar- ”Bahasa Melayu di Samudera- benih yang Baik menjadi Pulau”. Profesor mengatakan bahawa ”ada tiga jenis sistem semiotik atau sistem perlambangan yang dipertahankan oleh orang-orang Melayu di Australia (khusus kajian di Pulau Kokos-Keeling dan Pulau Christmas), iaitu Bahasa Melayu, budaya Melayu dan agama Islam. Antara ketiga-tiga jenis sistem semiotik ini, agama Islamlah yang paling dipertahankan...” -hlm. 22-23. Apa yang dapat disimpulkan daripada kajian ini adalah ciri identiti orang-orang Melayu di Australia yang paling utama ialah agama Islam yang disebatikan dengan faktor asal usul mereka, iaitu alam Melayu. Bahasa Melayu dan budaya Melayu sebagai sistem semiotik dilihat sebagai urat saraf kepada identiti yang utama itu.
Kami hanyalah pelajar-pelajar kesusasteraan Menengah 4 yang hanya mampu membuat analisis dan kajian ringkas mengenai budaya dan adat resam masyarakat Melayu yang indah bertentangan dengan coretan di Berita Harian ’Hari Raya : Orang Melayu Keliru?’(30/9/2009), maka diharapkan pelajar-pelajar lain dan pembaca dapat manfaatnya bersama. Wallahu ’alam bissawab.
Kerja kumpulan:
Izyan Liana Zulkepli , Nur Farhanah Rosli
Siti Aisyah Sahrol, Siti Umairah Abdul Ghani
Siti Syahirah Razak, Siti Noor Sabrina Noor Alim
Nur Adila Ismail.