Tuesday, May 12, 2009






Dirgahayu Sastera Melayu – Penyerapan Kesusasteraan ke Bali
(Kumpulan Sokongan Kesusasteraan Sekolah Menengah )
Pada tanggal 14 Mac hingga 18 Mac yang lalu, Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang, Sekolah Menengah Yusof Ishak dan Sekolah Menengah Dunearn telah bergabung dalam Program Penyerapan Kesusasteraan ke Bali. Program yang bermatlamat untuk memperkukuhkan ketrampilan berbahasa Melayu dan sastera serta menyedarkan kami kepada warisan budaya dan kesusasteraan Melayu di Nusantara ini telah berjaya dimanfaatkan semua pelajar yang terlibat. Semuanya telah berjalan dengan lancar atas pertolongan guru-guru dan juga pemandu pelancong di sana iaitu Pak Tommy.

Setelah selamat mendarat di Bali pada pukul 9 pagi, kami terus dibawa ke SMA N8 Denpasar. Di sana, kami disambut dengan meriah oleh pelajar-pelajar dan juga guru-guru sekolah itu. Terharu kami dibuatnya kerana disambut sebegitu meriah. Persembahan-persembahan yang dipersembahkan khas untuk kami seperti tarian Barong, gamelan Bali dan sajak dalam bahasa Sanskrit dan Bali amat menarik dan unik sekali. Guru-guru mereka juga ‘sporting’ belaka untuk berjoget dengan penari-penari persembahan itu. Setelah persembahan, kami bergambar dan beramah mesra dengan pelajar-pelajar SMA N8 Denpasar. Sungguh hiba rasa di hati apabila tiba masa untuk kami berpisah walaupun baru beberapa jam berkenalan. Makan malam pada hari itu adalah di tepi pantai Jimbaran. Pemandangan matahari terbenam amat menakjubkan dan memberi kesedaran betapa indahnya ciptaan Tuhan.

Hari kedua program penyerapan ini banyak dihabiskan untuk mempelajari budaya dan adat orang di Bali. Kami telah mempelajari tarian Bali yang bernama tarian Puspanjali di Githa Ariswara Alon gallery kelolaan keluarga Marhum Pak I Ketut Alon di mana terdapat anak-anak kecil yang menjadi guru tarian kami. Comel sungguh mereka menari dan apabila dewasa kelak, saya percaya bahawa mereka akan menjadi seorang penari yang berjaya. Tarian Bali yang kami pelajari amat rumit sekali kerana tarian Bali dan tarian Melayu amat berbeza sekali kerana Tarian Bali haruslah dengan lirik matanya sekali. Apatah lagi dengan saya yang sememangnya tidak pernah belajar menari maka jadilah ia seperti tarian ‘robot’. Tetapi, kami tidak berputus asa dan setelah dua jam setengah mempelajari tarian itu, kami pun mempersembahkannya. Amat seronok sekali dan terasa seperti mendapat satu pencapaian apabila berjaya menarikannya. Setelah di Alon gallery, kami juga ke Royal Palace Bali dan ke rumah orang Bali yang masih belum terjejas dengan unsur kemodenan. Terdapat rumah Barat, Timur, Utara dan Selatan dalam sesebuah kawasan yang dimiliki oleh sebuah keluarga. Rumah-rumah itu adalah untuk pelbagai kegunaan seperti rumah bagi pengantin baru, untuk keluarga yang baru melahirkan anak, rumah sembahyang dan rumah untuk menanam tembuni (placenta) bayi yag baru dilahirkan.

Hari ketiga pula kami pergi ke Treasure Island tetapi jangan pula salah anggap. Treasure Island bukanlah sebuah pulau tetapi hanyalah sebuah tempat di mana kami boleh mempelajari adat, istiadat dan budaya orang-orang Bali. Kami menghadari sesi masak dan kemudiannya mempelajari bagaimana hendak membuat canang atau ‘offerings’. Canang itu harus disusun dengan bunga yang berwarna-warni yang harus diletak mengikut arah yang betul. Kami juga berpeluang memakai baju-baju Bali seperti pakaian Cenderawasih. Apalagi, kami cubalah menari Tarian Puspanjali yang telah dipelajari kami dengan pakaian Bali itu. Hasilnya, kami terasa seperti betul-betul seorang penari Bali. Di Treasure Island juga, kami dapat membuat kraftangan seperti lukisan batik, melukis mengikut kreativiti kami dan juga mewarnakan patung kecil seperti ikan lumba-lumba dan kucing. Tidak lupa juga perlawanan gasing dan terompah yang dicuba oleh kami sehingga ada orang yang terjatuh. Sungguh menyeronokkan dan terasa seperti berada di kampung apabila berada di Treasure Island ini. Setelah berada di Treasure Island sehari-suntuk dan membeli-belah di Kampung Bali, kami pun pergi ke Tanah Lot. Kuil di Tanah Lot hanya dapat dilihat apabila air surut, jika tidak ia hanya nampak seperti sebuah kapal. Di Tanah Lot, kami diberi satu tugas untuk menulis sajak untuk dihantar bagi peraduan Puisi Artistik Qalbu yang dianjurkan NUS PBMUKS. Pemandangan matahari terbenam di Tanah Lot dan bunyi ombak memukul pantai memberikan kami inspirasi untuk menulis sebuah sajak.

Kami menonton persembahan Tarian Barong dan Tarian Kecak pada hari terakhir kami di Bali. Tarian Barong diiringi oleh muzik gamelan dan Tarian Barong ini seperti tarian singa dan adalah berdasarkan sebuah cerita epik Ramayana dan Mahabrata. Tarian Kecak pula tidak diiringi dengan sebarang muzik cuma dengan tepukan tangan atau perkataan ‘ke-chak’ yang diulang-ulang. Pada mulanya, tarian itu tidaklah menakutkan sangat tetapi pada pengakhiran tarian itu, terdapat seorang lelaki yang mampu berjalan dan menendang-nendang unggun api akibat disampuk. Saya hanya khuatir jikalau api itu akan terkena saya. Selepas persembahan itu kami mengambil gambar bersama-sama para pelakon dan penari Tarian Kecak itu. Secara keseluruhannya, dengan menonton tarian-tarian ini semua, ia memberikan kami peluang untuk mengenali lagi seni-seni dan adat budaya di Bali.

Program Penyerapan Kesusasteraan ke Bali telah memberi kami semua peluang untuk mempelajari dan mengetahui lebih lanjut lagi mengenai budaya-budaya serta adat-adat negeri lain. Ia juga merapatkan lagi silaturrahim antara murid-murid dari dua sekolah yang berbeza dan ini amat baik sekali. Jika diberi peluang, saya percaya murid-murid yang terlibat dalam program ini ingin pergi sekali ke Bali.

Siti Syahirah Bte Abdul Razak
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang

Tuesday, April 21, 2009

Deklamasi Sajak Kreatif NUS (28 Mac 2009)



Dirgahayu BPGHS! Tempat Ketiga Keseluruhan....




NERACA




Engkau, Aku
Kita, Dunia
Seimbangkah?

Dibuang kerja
Angkara mereka
Serakah tamak haloba
Sehingga
Kemuflisan menimpa
Akibatnya
Semua terjaga
Lesap kesenangan
Hinggap keresahan
Dibelenggu kesempitan
Seimbangkah?

Kini di gaza
Sahabat dan saudara
Bagai dilanda ribut
Tidak pula
Si 'ketua'
Berasak-asak
Hulurkan tangan
Sedekahkan bantuan
Hanya kerana
Tiada keuntungan
Seimbangkah?
Tersingkir aku dari mereka
Hanya kerana kulit berbeda
Hanya kerana menyembah berhala
Di mana keadilannya
Hilanglah sudah janji mereka
Kata-kata manis juga berbunga
Pendusta
Janji hanya tinggal janji
Diskriminasi
Menjadi-jadi
Seimbangkah?

Bahang terasa
Seluruh dunia
Hutan terbakar
Api merebak
Bagai nyamuk membiak
Beranak menjadi banyak
Kesan rumah hijau
Pemanasan global
Kerana perbuatan,
Tindakan manusia
Seimbangkah?

Di sebalik tabir
Semua terbukti
Kekurusan menguasai
Yang berisi ditolak tepi
Diejek dikeji
Terasa luka di hati
Bagai ditusuk mawar berduri
Keyakinan diri melayang pergi
Semua angkara stereotaip ini
Stereotaip si kurus pasti melebihi
Seimbangkah?
Andai wujudnya keadilan
Segala ikhtiarku pasti dihargai
Ajarilah mereka
Yang rela memperdayakan diri sendiri
Demi menggenggam
Kemasyhuran
Kepujian
Diiringi dengan hawa nafsu
Yang membawa kemusnahan
Ini aku berhak bertanya
Seimbangkah?

Pada abad ini
Ramai tidak mahu berbini
Yang tua meningkatYang muda menyengkatSemakin lanjut usiaSemakin sedikit bilangan manusiaBil hospital melambungMasalah bersambung-sambungPemerintah mengambil langkah,Kita tidak mahu berubahSeimbangkah?
Kaum adam ciptaan Illahi
Kaum hawa ciptaanNya jua
Diberi minda kepada keduanya
Supaya terserlah keupayaan mereka
Wanita semua
Dianggap lemah
Lenyap kedudukan
Hapus kepentingan
Angkara si anak adam
Dipandang gagah, berkuasa juga
Seimbangkah?

Ya Tuhan
Ampunilah dosaku
Sesungguhnya manira
Tidak berdaya
Tidak berhak menimbang
Sedangkan hamba hilang pertimbangan
Kerana Engkau sajalah yang
Maha Adil
Maha Kuasa
Menimbang dosa pahala hamba
Dengan neraca
Al-mizan.
Ampunilah aku
Kerana akulah
Neraca alam tidak seimbang






Dirgahayu BPGHS...
Pengalaman hidup di rantauan
Oleh Nathania Christy , BPGHS, 3T1



Dapat memenangi perlawanan deklamasi sajak kreatif Melayu tingkat nasional merupakan suatu kejadian yang sungguh tidak di sangka-sangka. Bahkan, untuk diberi penghormatan menjadi bahagian daripada suatu kumpulan yang boleh mewakili sekolah pun sudah menjadi kebanggaan tersendiri buat saya. Kemenagan ini membawakan kebahagiaan yang tiada tara kerana inilah trofi pertama yang saya peroleh di Singapura. Ya, saya adalah pelajar Indonesia yang baru tiga bulan mengecap pahit manisnya belajar di Singapura sebagai pelajar ‘scholars’ di BPGHS.
Semua berawal bulan November lalu ketika saya mendapatkan biasiswa untuk belajar di Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang. Masa-masa awal di Singapura dipenuhi dengan bertemu kawan-kawan baru dan menyesuaikan diri dengan kehidupan di negara ini. Merindukan keluarga, teman-teman, dan tanah air sudah menjadi hal yang biasa saya rasakan. Tetapi tekad saya sudah bulat, saya akan dengan gigih berjuang melewati semua rintangan di depan saya, kerana saya perccaya, ini semua akan menjadi pengalaman berharga pada masa mendatang buat saya dan keluarga.
Setelah tiga bulan disini, banyak suka duka yang saya alami. Pelajaran semakin sulit dan tugas semakin banyak. Untuk mendapatkan nilai belajar yang bagus, saya harus belajar lebih kuat lagi dan terus mendorong batasan saya. Kadangkalanya saya merasa tertekan. Tidak jarang pula saya merasa kosong kerana hidup seperti mesin yang tiada henti belajar. Namun diatas semua itu saya bersyukur kerana saya memiliki teman-teman dekat yang sudah seperti keluarga. Banyak teman sekolah saya yang iri melihat rapatnya hubungan kami. Ditengah-tengah segala macam masalah, kami menopang satu sama lain dan berbagi canda tawa bersama. Singapura juga mendewasakan saya. Banyak pelajaran kehidupan yang bisa dipetik yang sangat berharga. Saya belajar untuk berjaya diatas badai masalah yang melanda, belajar bagaimana melihat rintangan sebagai sebuah batu loncatan, dan apa erti persahabatan yang sebenarnya. Banyak misteri kehidupan yang tersingkap, menjadikan saya satu individu yang lebih matang. Selain daripada itu, saya juga belajar terlebih lagi untuk menjadi seorang yang berdikari. Saya harus bijak dalam mengatur waktu, wang, perasaan, kapan harus fokus belajar dan kapan harus istirahat. Banyak ‘life-skills’ yang saya dapatkan, dan memang inilah yang menjadi tujuan utama saya untuk belajar di Singapura.
Untuk peraduan Deklamasi Sajak Kreatif di NUS pada 28 Mar 2009, saya juga belajar banyak hal. Dalam peraduan ini, hanya ada tiga pelajar Indonesia yang bergabung dan bakinya pelajar Melayu tempatan. Menjadi kaum minoriti, saya hanya banyak diam dan agak susah untuk berkomunikasi. Namun setelah menjalankan latihan yang intensif, kami semua perlahan-lahan bertambah dekat. Sewaktu selesai bertanding kami saling berpelukan haru. Saya belajar bahawa bahasa dan latar belakang lainnya pun bukan menjadi halangan dalam menjalin persahabatan yang erat. Setelah melalui banyak latihan, saya juga belajar bahawa keberhasilan bukanlah sesuatu yang mustahil nescaya kita mahu berusaha. Yang paling penting, saya belajar untuk memiliki kepercayaan diri yang kuat, berperibadi dengan baik, dan mudah beradaptasi di lingkungan yang baru.
Saya suka melihat diri saya sendiri sebagai batu permata yang sedang diasah. Saya tahu saya memiliki potensi dan itu hanya akan menjadi sempurna jika saya membiarkan diri saya dibentuk, tidak peduli betapa menyakitkan dan betapa beratnya proses itu. Saya percaya pada akhirnya saya akan bersinar.


_________________________________________________________




Saya dan Pengalaman…
Oleh Ingewati Sastrawidjaja, BPGHS, 3T1



Pengalaman mengikuti Peraduan Deklamasi Sajak Kreatif di NUS pada 28/3/09 adalah hal yang tidak terlupakan. Pertama kali saya diberitahu bahawa saya boleh mengikuti perlawanan ini, saya sangat senang. Saya dan teman-teman dari Indonesia boleh berkenalan dengan teman-teman baru, bekerja sama dan berlatih dalam satu kumpulan untuk mencapai yang maksimal, terlebih kerana sajak ini ialah sajak kreatif yang sememangnya mengutamakan kreativitas dan sikap kesatuan. Kelompok kami terdiri daripada 10 orang dengan dua orang sebagai pengatur lampu dan musik. Saya ditugaskan sebagai pengatur lampu. Sebenarnya saya agak tidak yakin dengan “lighting”. Tetapi teman-teman dan Abang Anwar membantu saya supaya saya berhasil. Pada masa perlawanan, semuanya melakukan tugasnya dengan baik. Semuanya boleh mendeklamasikan sajak dengan lampu dan musik yang sesuai.
Di saat pengumuman pemenang, kami semua menunggu hasilnya dengan penuh harap. Lalu pengacara mengumumkan bahawa sekolah pemerintah Bukit Panjang mendapati peringkat ketiga. Kami semua sangat senang dan gembira. Ternyata semua hasil kerja keras tidak sia-sia. Saya sangat bangga boleh mewakili sekolah dan boleh mendapati prestasi yan g membanggakan di peringkat nasional.
Sebenarnya kehidupan di Singapura membawa banyak perubahan dalam hidup saya. Selain kerana pendidikan yang berkualiti, saya belajar untuk mandiri. Terlebih kerana saya hidup di hostel, saya perlu mengatur waktu antara belajar dan mengatur kehidiupan saya sehari-hari. Untungnya, guru-guru dan teman-teman Bukit Panjang Government High School sangatlah membantu saya untuk mudah adaptasi dengan kehidupan di Singapura. Terlebih lagi, hubungan dekat dengan sesama teman membuat saya semakin senang tinggal di Singapura.
Hidup di Singapura juga bererti bertambahnya tanggung jawab. Saya menyadari bahawa saya mendapat kepercayaan dari keluarga dan teman-teman saya di Indonesia untuk sekolah di sini, juga mendapat kepercayaan dari MOE, Bukit panjang dan juga guru guru di Singapura. Oleh kerana itu, saya percaya bahawa saya masih bisa meningkatkan kemampuan diri saya sampai ke peringkat maksimal. Saya akan berusaha lebih berlatih lagi terutama untuk mengingkatkan pelajaran-pelajaran yang masih belum maksimal.
Terkadang saya juga merasa rindu dengan keluarga dan teman teman saya. Biasanya ayah dan ibu akan menelepon saya atau kami berhubungan melalui email. Begitu pula dengan teman-teman saya di Indonesia . Dengan begitu, saya tidak akan kehilangan kontak dengan ayah-ibu mahupun teman-teman. Saya menyadari bahwa masih banyak tantangan, kesulitan, dan didelema dalam menjalani kehidupan di masa hadapan. Oleh keran aitu, saya tidak akan menyerah dantn terus berusaha., seperti dalam perkataan bahasa inggris “When the going gests tough, the tough gets going”. Itulah pedoman dalam hidup saya.


Saturday, January 31, 2009

e-Kembara Sastera Novel 'Subuh Hilang Senja'(Suratman Markasan)






Pada tanggal 24/12/2008, kumpulan guru-guru dan pelajar-pelajar yang mengikuti subjek Kesusasteraan Melayu telah ber-e-kembara menjejaki latar novel 'Subuh Hilang Senja' (Suratman Markasan).
Pertemuan pertama Jawatankuasa Kesusasteraan Melayu Kumpulan Sekolah (Malay Literature School Committee) yang dipelopori Sekolah Tinggi pemerintah Bukit Panjang (BPGHS) telah ditubuhkan pada pertengahan tahun 2008 dan mesyuarat pertama dengan Malay Language Unit/ CPDD/MOE telahpun diadakan bagi perlaksanaan perkongsian dan pedagogi pembelajaran yang baik untuk subjek kesusasteraan Melayu ini.

Sekolah-sekolah yang berkenaan adalah Sekolah Menengah-sekolah menengah Dunearn, Yusof Ishak, Guangyang, Yio Chu Kang, Tanjong Katong, Admiralty dan Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang.


Pembentangan hasil e-kembara ini akan diadakan di Sekolah Menengah Yusof Ishak pada 31/1/2009. Kumpulan sekolah yang terbaik akan diberi hadiah dan kumpulan sekolah akan dapat salinan pembentangan murid ini sebagai bahan pengajaran dan kerjasama pembinaan kertas soalan peperiksaan juga diberikan.








Tuesday, October 14, 2008


Pendahuluan

Sukatan pelajaran kesusasteraan Melayu dilakarkan berdasarkan. matlamat utamanya iaitu untuk menggalakkan pelajar yang berminat untuk meneruskan pengajian dalam bahasa Melayu dan kesusasteraan serta kebudayaan Melayu. Selaras dengan matlamat ini, LEP iaitu Program Elektif Bahasa, telah diperkenalkan di sekolah menengah dan maktab rendah pada tahun 2001. Pelajar dari sekolah-sekolah menengah yang terpilih dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam bahasa Melayu diberikan peluang mengambil mata pelajaran kesusasteraan pada peringkat ‘O’ dan ‘A’. Pengajian sastera ini bermula pada peringkat menengah tiga.

Pentingnya Mempelajari Sastera

Pembelajaran sastera dalam peringkat ini bukan sahaja penting dalam perkembangan aspek komunikasi dan kemahiran berfikir tetapi harus juga meningkatkan kesedaran mereka dalam aspek kebudayaannya. Adalah penting untuk memberi murid peluang untuk menikmati dan menghayati pembelajaran sastera. Kaedah penilaian formatif memberi murid kesempatan untuk melihat perkembangan mereka disamping melihat potensi yang ada pada diri mereka.

Murid yang mengambil pelajaran sastera harus diberi kesempatan untuk mengembangkan potensi mereka untuk

Menikmati bahan bacaan sastera dan menghayati serta mengapresiasinya.


Menyelusuri aspek-aspek kemanusiaan lantas meningkatkan kesedaran mereka tentang diri mereka sendiri dan diri orang-orang di sekeliling.


Membaca, memahami dan memberi maklum balas kepada berbagai teks sastera bagi mengapresiasi teknik penulisan penulis dan mengembangkan kemahiran ini untuk tujuan pembelajaran sastera.


Membaca, membina dan menyampaikan makna dengan jelas dan dapat difahami dalam tulisan dan juga lisan.

Pengalaman Pembelajaran Sastera di Dalam Bilik Darjah

Respon kepada sastera

- interpretasi yang tepat mengenai teks tidak harus diberatkan

- guru harus fokus dalam membantu murid berfikir dan memberi respon mereka sendiri


- mutu dan isu yang munasabah sesuatu pandangan itu dan kebernasan idea yang disampaikan harus diberi perhatian yang lebih berat jika dibandingkan dengan aspek tatabahasanya


- selain daripada hasil tulisan yang biasa dijalankan, murid harus digalakkan melahirkan pendapat mereka dalam bentuk yang lain seperti lukisan, pementasan drama, musik, pergerakan dan penulisan kreatif.

Perkembangan kemahiran apresiasi sastera

- kemahiran yang melibatkan pembacaan, penafsiran
dan apresiasi sastera
- pengetahuan teknikal seperti unsur dalam sastera harus diajar dengan berkesan untuk memperkayakan pengalaman pembacaan murid dan tidak diajar secara berasingan sehingga murid tidak dapat melihat keindahannya dalam sastera

Horizon pengalaman sastera

- memberi peluang murid meneroka dan mempelajari
kebudayaan masyarakat lain
- mengenalpasti pengalaman manusia dan
permasalahannya
- mendedahkan murid kepada pelbagi genre sastera
- sastera tidak semestinya terikat dengan teks tetapi harus memberi peluang kepada murid untuk menonton dan mendengar kepada teks yang telah dipentaskan

Melalui kursus kesusasteraan Melayu ini murid-murid dapat:

Menghargai dan menghayati keindahan bahasa yang terdapat di dalam teks sastera dan menjadikan ia contoh bagi meningkatkat tahap bahasa, kognitif afektif dan estetik.

Memahami dan menghayati nilai-nilai murni dari segi moral, kemanusiaan dan sejagat, keagamaan, kemasyarakatan, kebudayaan dan kenegaraan untuk membina siasah yang seimbang.

Memahami teks sastera yang tergolong dalam berbagai genre dan menganalisisnya berdasarkan aspek-aspek kesusasteraan.

Menanam minat suka membaca, interpretasi dan memberikan pandangan serta penilaian secara analitis, kritis dan kreatif terhadap bahan sastera.

Menjawab soalan-soalan tentang teks sastera dengan tersusun dan meyakinkan bagi tujuan kajian ujian dan peperiksaan.

Menghargai sumbangan penulis dan kedudukannya dalam sastera umumnya.

Memupuk minat dan bakat dalam bidang kesusasteraan.
Ujian Tidak Formal

Dengan penekanan kepada visi ‘Thinking Schools, Learning Nation’, guru yang mengajar pelbagai mata pelajaran mendapati bahawa adalah perlu membuat rombakan dan semakan semula rancangan pelajaran dan kaedah mengajar supaya tidak ketinggalan dalam dunia ledakan informasi ini. Penekanan tentang pembelajaran sepanjang hayat yang mampu membuat murid berdikari, berinovasi, produktif dan manusia yang syumul adalah penting dalam mempersiapkan diri mereka dalam menempuh cabaran dalam abad ke 21 ini.

Terdapat beberapa jenis pengujian dalam pendidikan seperti pengujian formatif dan dianostik yang tercakup dalam penilaian rujukan kriteria (Criterion-referenced) dan pengujian penempatan (placement) serta pengujian sumatif yang tercakup dalam penilaian rujukan norma (norm-referenced). Apabila guru menguji dan menilai pendidikan sastera di kalangan pelajar dengan memberi latihan-latihan dan ujian bulanan untuk melihat perkembangan individu pelajar dari masa ke masa, maka pengujian dan penilaian demikian bersifat formatif. Cara demikian jika diperluas pula dengan mengesan daerah kelemahan dan kesukaran pelajar, maka pengujian dan penilaian tersebut bersifat dianostik.
Dalam bilik darjah, adalah lebih manfaat jika guru sastera mentadbir pengujian dan penilaian bersifat formatif, kerana pengujian dan penilaian formatif dapat melihat perkembangan murid. Baik apa bentuk ujian yang dijalankan serta dengan meletakkan matlamat dan sasaran yang dikehendaki; satu hal yang tidak dapat dinafikan bahawa kefahaman, penghayatan seseorang pelajar menerima pelajaran adalah dipengaruhi oleh perkaedahan yang digunakan oleh guru. Dalam hal ini, kaedah-kaedah struktural, berfokus dan mengalami dan menghayati dapat memainkan peranannya.

Ujian tidak formal yang dijalankan di sekolah adalah untuk melengkapkan ujian sumatif yang ada. Di bawah ini adalah aspek positif yang boleh didapati daripada ujian formatif.

Kerja murid yang selalunya baik tetapi mendapati sukar untuk mencapai yang cemerlang di bawah tekanan peperiksaan. Mereka diberi peluang untuk menyerlah dalam suasana yang tidak memberi mereka sebarang tekanan.

Murid yang secara akademiknya lemah dan menghadapi masalah mencapai yang terbaik dalam menduduki peperiksaan secara tradisional.

Ujian formatif memberi laluan yang lebih fleksible dalam memberikan tugasan kepada murid.

Ujian formatif memberi guru peluang melihat perkembangan murid dan memantau kerja mereka dengan lebih berkesan dan dekat lagi.

Dalam jangka masa panjang, ujian formatif memberi penilaian yang lebih menyeluruh mengenai kebolehan murid.

Penilaian

Penilaian mempunyai peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hasil ujian diperlukan dalam merancang proses pengajaran dan pembelajaran. Beberapa faktor penting digunakan dalam usaha mengubah ujian pencapaian dan keupayaan sastera.Sebarang ujian haruslah menguji:
penikmatan
penghayatan
pengalaman.
Bentuk ujian tidak haruslah tertumpu kepada yang mudah dimarkah, dan objektif dari segi pemarkahan, tetapi yang boleh menguji daya kreatif pelajar juga sebagai hasil sampingan penikmatan dan penghayatan mereka terhadap sastera. Ia juga tidaklah seharusnya hanya merupakan ujian dan penilaian pencapaian, tetapi harus merupakan ujian dan penilaian keupayaan, jika kita ingin menanam minat membaca dan daya cita rasa positif terhadap sastera di kalangan pelajar sebarang ujian pencapaian atau keupayaan dalam bidang sastera wajar berlandaskan bukan sahaja kepada matlamat atau objektif mengikut kurikulum tetapi berlandaskan juga pada objektif tersirat dan objektif jangka panjang (berlanjutan) pembelajaran dan pengajaran sastera. Kefahaman pelajar tentang bahan sastera yang dipelajari boleh dimanfaatkan untuk pengukuhan serta juga untuk pemulihan. Ini bergantung kepada objektif ujian tersebut dijalankan oleh guru.

Sebagaimana yang telah diketahui bahawa objektif pendidikan terbahagi kepada tiga bidang penting iaitu:

kognitif
afektif
psikomotor



Di bawah domain kognitif terdapat enam peringkat kemahiran yang perlu ditanamkan dalam diri pelajar iaitu:

pengetahuan
pemahaman
aplikasi
analisis
sintesis
penilaian

Di bawah domain afektif pula terdapat lima peringkat iaitu:
penerimaan
sambutan
penghargaan
pembentukan
penyebatian

Perkara-perkara ini penting diambil kira terutama ketika menyediakan atau membina soalan bagi menguji untuk melihat hasil daripada pengajaran guru serta pembelajaran pelajar. Pengajaran dan pembelajaran Kesusasteraan Melayu juga tidak terkecuali dalam hal ini. Malah kesusasteraan Melayu dapat dijadikan prinsip dalam konsep pengujian dan penilaian sastera yang akan dilaksanakan itu..

Bentuk ujian tidak haruslah tertumpu kepada yang mudah dimarkah, dan objektif dari segi pemarkahan, tetapi yang boleh menguji daya kreatif pelajar juga sebagai hasil sampingan penikmatan dan penghayatan mereka terhadap sastera. Ujian sastera tidaklah seharusnya hanya merupakan ujian dan penilaian pencapaian, tetapi harus merupakan ujian dan penilaian keupayaan, jika kita ingin menanam minat membaca dan daya cita rasa positif terhadap sastera di kalangan pelajar.

Kaedah Penilaian

Penekanan dalam ujian informal ini adalah dari elemen formatifnya dan bukan sumatif. Penilaian formatif haruslah berterusan dalam jangkamasa yang ditentukan dan ia harus membolehkan murid melihat perkembangan dan pencapaian mereka.

Lisan

Sekiranya sesuatu pelajaran itu dirancang dengan baik berserta dengan kriteria penilaian yang dijelaskan kepada murid, maka respon murid secara lisan juga boleh dijadikan ujian yang sahih dalam melihat perkembangan murid. Antara penilaian formatif yang boleh dilakukan ialah melalui lisan seperti persembahan puisi, lakonan drama dalam babak yang tertentu dan analisis sajak. Tugasan individu pula harus memberi peluang bagi murid untuk memberi respon yang pelbagai berdasarkan teks seperti imaginasi dan kreativiti. Tumpuan pada aspek pemikiran yang analitikal dan kritikal juga harus digalakkan. Kemahiran untuk membina keyakinan murid dalam kemampuan mereka untuk menganalisa kandungan teks, bahasa dan stail penulisan adalah salah satu aspek yang penting dan harus diberi penekanan.

Tugasan Individu

Oleh kerana murid harus diberi peluang untuk melakukan pelbagai aktiviti, tugasan menulis secara individu adalah penting untuk melihat perkembangan murid. Namun bentuk tugasan yang diberi dalam bentuk tulisan ini tidak seharusnya ‘diciplak’ langsung dari kertas peperiksaan peringkat ‘O’. Murid harus diberi peluang untuk memberi respon mereka daripada pelbagai sudut seperti menggunakan daya imaginasi, kreativiti, analitikal mahupun kritikal mereka. Antara tugasan dalam bentuk penulisan yang boleh mereka lakukan ialah menulis laporan suratkhabar, menulis diari atau jurnal dan menulis komen tentang puisi.

Portfolio Murid

Portfolio adalah kerja murid yang telah dikumpulkan dalam jangka masa yang tertentu dan ia mempunyai bukti pencapaian murid dalam pelbagai bidang pembelajaran dan juga sebagai refleksi tentang apa yang telah mereka pelajari. Portfolio amat berfaedah dalam melihat ketekalan dan kesinambungan usaha kerja murid dalam jangka masa yang panjang. Murid juga dapat melihat kepentingan semua kerja yang diusahakan dan bukan beberapa kerja yang terpilih sahaja. Portfolio juga memberi peluang bagi murid, waris dan guru untuk memantau perkembangan dan pencapaian murid dalam pelbagai aktiviti lantas kebolehan murid yang lebih menyeluruh dapat dilihat. Dengan portfolio, murid juga dapat memainkan peranan yang aktif dalam pembelajaran dan penilaian mereka.

Objektif penilaian


Menunjukkan pengetahuan tentang teks sastera
Menunjuk pemahaman tentang teks.
Menghargai dan mengenalpasti gaya penulisan yang berkesan.
Memberi respon peribadi yang berasas terhadap bahan.
Memberi respon yang jelas dan koheren dengan menggunakan bukti-bukti tekstual yang relevan.

Objektif penilaian ini saling berkait dan tidak diuji secara sendiri












Thursday, September 18, 2008

Prosa Moden- Cerpen (Anak Laut)

Cerpen 'Anak Laut' - Menatap Wajahnya (Siti Hajar Mohd Zaki)

2a. Bincangkan tema cerpen 'Menatap Wajahnya' karya Siti Hajar Mohd Zaki. (5 markah)

2b. Huraikan 5 aspek watak dan perwatakan Muliati dalam cerpen ini. (10 markah)

2c. Terangkan latar masyarakat dalam cerpen ini. (5 markah)
__________________________________________________________

Antologi Anak Laut
Menatap Wajahnya (MS.60-67)
Siti Hajar Mohd Zaki


2a) Bincangkan tema cerpen ‘Menatap Wajahnya’ karya Siti Hajar Mohd Zaki.
(5 markah)

Tema bagi cerpen ‘Menatap Wajahnya’ karya Siti Hajar Mohd Zaki merupakan pengorbanan seorang guru terhadap muridnya. Ini jelas kelihatan daripada perhubungan Cikgu Balkis dengan Muliati. Cikgu Balkis telahpun menerima Muliati secara keseluruhan sebagai murid dan ‘anak angkatnya’, meskipun anak muridnya itu cacat. Wataknya lain daripada orang ramai yang mencemuh Muliati. Beliau juga ‘menyara persekolahan dan menghadiahkan kasih sayang’ (ms 63) baginya. Salah satu pengorbanan daripada beliau merupakan waktu beliau mengelak Muliati kerana ingin merahsiakan penyakit ganjil yang dihadapinya agar Muliati tidak bimbang. Ini mengukuhkan lagi pengorbanannya; selama ini Cikgu Balkis menderita, dia sanggup memelihara Muliati bagaikan anaknya sendiri. Ini semua merupakan sesuatu di luar lingkaran tugasannya sebagai seorang guru. Justeru, ia boleh dianggap sebagai satu pengorbanan.

2b) Huraikan 5 aspek watak dan perwatakan Muliati dalam cerpen ini. (10 markah)

Muliati merupakan seorang yang bertubuh kurang sempurna akibat satu kemalangan yang menimpanya. Tangan kirinya kudung manakala kedua-dua belah kakinya cacat. Walaupun begitu, kekurangan inilah telah membentuknya menjadi seorang yang lebih bersikap cekal. Akibat kecacatannya, rutin Muliati terganggu; dia memerlukan lebih banyak waktu dan usaha untuk meneruskan hidupnya seperti biasa. Sesuatu semudah berjalan di kampusnya sekarang merupakan cabaran besar. Namun begitu, dia cekalkan hatinya dan teruskan perjuangannya.

Muliati juga seorang yang miskin. Kehidupannya bersama neneknya yang sebatang kara lebih susah berbandingkan gaya hidupnya yang lalu. Namun, Muliati seorang yang mampu menyesuaikan dirinya dengan keadaan sekitar; akhirnya dia dapat juga membiasakan dirinya dengan cara kehidupannya yang baru. Sifat [1]cekal hati turut dipamerkan apabila dia dapat meneruskan kehidupannya sebaik yang terdaya setelah kehilangan tubuhnya yang sempurna, walaupun dengan sedikit kesusahan.

Selain itu, dia seorang anak yatim; keluarganya telah pun terkorban dalam satu nahas jalan raya. Ini membuatnya seorang yang mendahagakan kasih. Ini ternyata daripada cara dia berpaut kepada perhatian yang dicurahkan Cikgu Balkis kepadanya. Ini dikukuhkan lagi oleh ayat yang difikirkan Muliati, iaitu ‘Mengertikah mereka bahawa dahaga keprihatinan seseorang?’ (ms 64).

Muliati juga seorang yang berijazah. Ini merupakan bukti bagi personanya yang gigih. Dia hampir-hampir hilang semangat perjuangannya apabila Cikgu Balkis enggan menemuinya lagi. Mahupun begitu, dia menguatkan dirinya dan terus berusaha agar kejayaannya tidak terkilan. Ternyata usaha gigihnya sudah berbuah.

Akhir sekali, Muliati asyik teringat akan Cikgu Balkis sepanjang perjalanan cerita ini. Walaupun empat tahun sudahpun berlalu semenjak dia menerima ijazahnya, wajah Cikgu Balkis masih terbayang-bayang di mindanya. Dia sedar akan pengorbanan guru tersayangnya terhadap dirinya. Ini bermakna Muliati seorang yang mengenang jasa. Dia bersyukur ke atas keprihatinan Cikgu Balkis dan inginkan gurunya tersebut tahu akan kejayaannya; niatnya adalah untuk menggunakan kejayaan hasil titik peluhnya itu sebagai satu tanda berterima kasih. Jelas bahawa Muliati bukannya kacang melupakan kulit.

2c) Terangkan latar masyarakat dalam cerpen ini. (5 markah)

Pada awal cerpen ini, latar tempat merupakan satu pusat pengajian tinggi. Masyarakat di situ terbahagi kepada pelbagai jenis pelajar. Suasana yang sibuk menghasilkan satu masyarakat yang amat bersaing dengan satu sama lain serta tidak mempedulikan kejadian di luar lingkaran hal peribadi masing-masing. Ini jelas kelihatan apabila tiada sesiapa yang mengendahkan Muliati yang sering bermasalah bergerak di kampus. Namun begitu, tidak semua orang di situ berperangai negative sebegini – Riani, seorang rakan baru Muliati, amat kerap menolongnya dengan rela hati, lantas membuktikan ada juga yang berperikemanusiaan dalam masyarakat tersebut.


Nota:
[1] Perenggan ini menunjukkan sikap boleh menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling; dalam istilah Inggeris, iaitu ‘adaptable’.

Hazrina Bte Kassim
4L1
Soalan 2

2a) Bincangkan tema cerpen ‘Menatap Wajahnya’ karya Siti Hajar Mohd Zaki. (5m)

Tema cerpen ‘Menatap Wajahnya’ karya Siti Hajar Mohd Zaki yang dapat dihuraikan ialah; pengorbanan seorang guru terhadap pelajarnya. Ini dapat dilihat dalam usaha yang diambil oleh seorang guru untuk mendorong pelajarnya sehingga pelajar itu berjaya ke menara gading. Dalam cerpen ini, Muliati merupakan seorang pelajar yang mempunyai banyak masalah seperti kehilangan ibu bapanya serta adik-adiknya dalam satu nahas jalan raya, hidup dalam kemiskinan dan dia merupakan seorang yang cacat anggota setelah terlibat dalam sebuah tragedi. Dalam masa-masa kegelapan ini, Cikgu Balkis merupakan orang yang telah menjadi tiang bergantung kepada Muliati. Kata-kata dorongan Cikgu Balkis telah membuat Muliati bersemangat untuk meneruskan kehidupannya sehinggalah dia berjaya menamatkan pengajian di menara gading. Jelas, ini menunjukkan bahawa Cikgu Balkis telah banyak berkorban dan membantu sehinggakan Muliati berjaya kerana kejayaan itu tidak datang bergolek sahaja.

2b) Huraikan 5 aspek watak dan perwatakan Muliati dalam cerpen ini. (10m)

Muliati merupakan seorang gadis yang tempang, kedua-dua belah kakinya cacat dan tangan kirinya kudung. Ini membuatnya berjalan dengan terhinjut-hinjut. Sebenarnya, Muliati dilahirkan dengan cukup sifat. Bagaimanapun, dia mengalami kecacatan itu semasa dia mengikuti ekspedisi Kelab Kembara sekolahnya semasa di tingkatan lima.
Walaupun Muliati mempunyai kecacatan yang mengganggu kelancaran aktiviti asas seperti berjalan, dia masih seorang yang gigih. Dengan sering mengingatkan kata-kata Cikgu Balkis yang penuh dengan dorongan dan motivasi, dia bekerja keras untuk membanggakan neneknya serta Cikgu Balkis sehinggalah dia berjaya di menara gading.
Muliati juga merupakan seorang gadis yang tabah. Ini kerana dia tabah mengharungi segala rintangan yang menimpa dirinya. Dia juga berjaya menerima gudaan yang menimpa dirinya dengan ketabahan. Antara dugaan yang menimpa dirinya ialah, kematian ibu bapanya serta adik-adiknya dalam nahas jalan raya dan kecacatan fizikalnya.
Muliati juga merupakan seorang gadis yang mengenang jasa orang lain. Muliati sedar akan pengorbanan Cikgu Balkis terhadapnya dan segala kasih sayang yang telah dicurahkan oleh Cikgu Balkis ke atas dirinya. Oleh itu, walaupun Cikgu Balkis tidak berada di sisinya kerana Cikgu Balkis sering memberi alasan tidak boleh berjumpa dengannya, Muliati tidak berasa marah. Sebaliknya, dia meneruskan pengajiannya dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya agar dapat membalas budi baik cikgunya itu.
Terakhir sekali, Muliati merupakan seorang gadis yang tidak dapat mengawal emosinya dengan baik. Dia sering menangis memikirkan nasibnya yang malang itu. Juga, apabilah dia berbual dengan Cikgu Balkis melalui panggilan telefon, dia cuba menahan perasaan sebak dan rasa ingin menangis tetapi dia tidak berjaya kerana akhirnya, “ada manik putih menempias pipiku.”. (m/s 61)


2c) Terangkan latar masyarakat dalam cerpen ini. (5m)

Latar masyarakat dalam cerpen ini ialah, pelajar-pelajar universiti yang individualistik, sering mengejar masa dan sentiasa sibuk. Ini jelas dilihat dalam cerpen ini melalui beberapa kejadian. Muliati hampir terjatuh semasa berjalan tetapi tiada siapa yang mengendahkannya. Ini menunjukkan bahawa mereka terlalu sibuk dan individualistik untuk menolong seseorang walaupun buat seketika.
Latar masyakarat yang kedua ialah, pelajar-pelajar sekolah menengah yang cemburu akan hubungan Muliati dan Cikgu Balkis. Muliati dan Cikgu Balkis amat rapat sekali sehinggakan mereka kelihatan seperti ibu dan anak. Disebabkan kerapatan ini, pelajar-pelahar di sekolah sering mengumpay dan memperli-perli. Ini menunjukkan suatu perkara atau perbuatan yang keanak-anakan disebabkan perasaan cemburu yang tidak bersebab.

Herianti Samsudin
4L1

Wednesday, August 20, 2008

Bengkel Penulisan Kreatif (Puisi Tradisional & Moden) Oleh Cg Rasiah Halil & Cg Noor Hasnah Adam

Khas buat pelajar-pelajar Program EMAS/Bahasa Melayu Lanjutan BPGHS Centre pada 16 Ogos 2008.





Model ASEAN Summit 2008 di Institusi Hwa Chong




Pada 11 dan 12 haribulan Ogos 2008, Institusi Hwa Chong telah mengadakan Model ASEAN summit. Acara itu juga merupakan kali yang keempat bagi Institusi Hwa Chong menjadi tuan rumah bagi acara ini. Sekolah kami, Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang, merupakan satu daripada 5 lagi sekolah ternama di Singapura; Sekolah Tinggi Dunman, Sekolah Perempuan Methodist, Sekolah Tinggi Perempuan Nanyang, Institusi Hwa Chong dan juga Sekolah Internasional Hwa Chong.
Sememangnya, sekolah-sekolah lain yang turut serta dalam acara ini hebat-hebat belaka. Saya sendiri cukup gembira apabila diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam suatu acara gah seperti ini, yang tidak mungkin dapat saya hadiri lagi. Apatah lagi apabila kesemua rakan-rakan yang bakal menyertai acara ini merupakan para pelajar melayu EMAS sendiri. Memang tidak dapat dinafikan, Saya cukup bangga kerana berpeluang mewakili sekolah saya dalam acara sebegini. Namun, di sebalik perasaan bahagia dan ghairah itu, tersirat juga perasaan takut dan gementar. Walau bagaimanapun, saya yakin bahawa pengalaman ini bakal menjadi satu pengajaran yang cukup bermanfaat dan berfaedah bagi saya, dan juga rakan-rakan lain.
Setiap sekolah akan mewakili salah satu daripada sepuluh negeri yang menganggotai ASEAN, iaitu Brunei Darrusalam, Philippines, Singapura, Thailand, Laos, Malaysia, Indonesia, Cambodia, Vietnam dan juga Myanmar. Beberapa minggu sebelum acara itu bermula, kami semua diberikan bahan kajian bagi negeri yang bakal kami wakili. Sekolah kami ditugaskan mewakili negeri Brunei Darrusalam, dan justeru selepas itu, kami semua tekun membuat kajian ehwal semasa, kemasyarakatan, isu global serta persiapan bagi beberapa isu penting yang akan diketengahkan di persidangan kelak.
Setibanya di Institusi Hwa Chong pada hari pertama, hati kami semua berdebar-debar. Setelah menyelesaikan beberapa perkara-perkara pentadbiran, kami masing-masing dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk menjalankan debat-debat tentang isu-isu yang telahpun diberi.
Secara jujur, saya cukup kagum dengan kebolehan pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah lain. Mereka semua dapat berfikir dengan secara matang dan logik serta kebolehan memikir secara spontan. Mereka juga mempunyai kosa kata yang cukup baik. Satu lagi sifat mereka yang cukup saya kagumi ialah keberanian mereka bagi memberikan pendapat sendiri tentang isu yang sedang diperdebatkan.
Selain daripada kawan-kawan baru yang dapat saya temui di acara tersebut, banyak perkara lain yang dapat saya raih dari pengalaman emas ini. Satu contoh baik ialah saya kini mempunyai ilmu yang lebih mendalam tentang isu-isu semasa yang, secara tidak langsung, akan mempunyai kesan terhadap diri saya sendiri. Saya juga mempelajari bahawa kita haruslah sentiasa kerap berfikir akan kesan-kesan kelakuan kita.
Secara keseluruhan, saya cukup berbesar hati dapat mengambil bahagian dalam acara ini. Saya tentunya akan menggalakkan kepada sesiapa yang diberikan peluang ini agar mengambil bahagian dengan hati serta minda yang tebuka, agar peluang emas ini tidak akan disia-siakan begitu sahaja.

Fadhilah Kamsani 3L1
Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang